TIGA lelaki (duduk) dan seorang wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan judi sabung ayam di Kampung Guar Arang, Changlun, semalam. FOTO Ihsan PDRM
TIGA lelaki (duduk) dan seorang wanita yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan judi sabung ayam di Kampung Guar Arang, Changlun, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


ENAM kaki judi termasuk seorang wanita yang sedang asyik berjudi sabung ayam dalam kebun getah di Kampung Guar Arang, Changlun bertempiaran lari sebaik menyedari diserbu polis, semalam.

Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan polis dalam operasi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 3 petang.

Kesemua kaki judi terbabit dikatakan mempertaruhkan ayam masing-masing untuk bersabung bagi mendapatkan wang dengan jalan mudah.

Serbuan dilakukan berikutan maklumat awam berkaitan judi sabung ayam di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika serbuan dilakukan mereka sedang berdiri melingkungi satu bulatan menyaksikan ayam bersabung.

Katanya, hasil pemeriksaan lima lelaki berusia 19 hingga 62 tahun dan seorang wanita berusia 42 tahun ditahan berhampiran lokasi perjudian untuk siasatan.

“Turut dirampas dua ekor ayam laga dalam gelanggang dan dua ekor lagi di luar gelanggang selain dua botol ubat, satu botol kapsul untuk ayam, dua pita pelekat dan dua taji ayam serta 11 batang besi pacak.

“Selain itu, wang tunai RM300 turut dirampas di kawasan perjudian berkenaan dan kesemua ayam sabung dan tangkapan dibawa ke IPD Kubang Pasu untuk tindakan lanjut, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek terdiri dua lelaki warga Thailand, seorang wanita warga Myanmar dan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai penoreh getah dan pekebun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953.

“Kesemua mereka akan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 9:35 AM