SEKUMPULAN lelaki yang ditahan polis kerana berjudi dalam kawasan kebun getah di Kampung Naga. FOTO ihsan PDRM
SEKUMPULAN lelaki yang ditahan polis kerana berjudi dalam kawasan kebun getah di Kampung Naga. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Sekumpulan 10 lelaki yang leka berjudi dalam kebun getah di Kampung Naga, di sini, ditahan dalam serbuan Op Dadu, semalam.

Ketika serbuan pada 10 malam, ada antara mereka cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran, namun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya melakukan serbuan di kawasan itu.

Menurutnya, seramai 10 lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan ketika sedang leka bermain judi jenis dadu di meja yang disediakan.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 32 tahun hingga 58 tahun dan enam daripada suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

"Polis merampas sebuah meja kayu, sehelai kain bertulis angka, lapan kerusi plastik, tiga dadu, satu lampu suluh dan wang tunai RM27,860," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek direman dua hari mulai hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut selain dikompaun RM4,000 bagi kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

"Kes turut disiasat Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Jun 2021 @ 3:02 PM