GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Maiamalina Mohamed Amin


BAYI lelaki maut, manakala ibu bapa serta kakaknya parah selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di Batu 15, Jalan Raya Timur Barat, Jeli, semalam.

Kejadian berlaku pada 6.30 petang ketika empat beranak itu dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah ke rumah mereka di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Muhammad Hadif, tiga bulan, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bapanya, Hilmifarizal Saad, 31; ibu, Nur Fariza Zainol, 31, dan kakak, Hani Zhafira, 2, yang cedera dihantar ke Hospital Jeli (HJ) untuk rawatan.

Difahamkan, Hilmifarizal adalah pegawai polis berpangkat Inspektor bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusuff Jaafar berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Hilmifarizal hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung.

Beliau berkata, mangsa maut di lokasi, sementara ahli keluarga yang lain mengalami kecederaan, dirawat di HJ dan dilaporkan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shahril Mohamad Sa'aid berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 6.44 petang.

Katanya, lapan anggota ke lokasi dibantu tiga anggota Bomba Sukarela Jeli dan 12 anggota lagi dari BBP Gerik, memulakan operasi menyelamat pada 7.38 malam.

"Kereta terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter dan anggota menggunakan tali dan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan semua mangsa.

"Mangsa pertama iaitu wanita dewasa berjaya dinaikkan ke tebing pada 8.54 malam, mangsa kedua (bayi lelaki) pada 9.57 malam dan dipercayai sudah meninggal dunia ketika itu.

"Mangsa ketiga (lelaki dewasa) dinaikkan pada 10.07 malam dan mangsa terakhir iaitu kanak-kanak perempuan dibawa naik ke tebing bersama pasukan penyelamat," katanya.

Beliau berkata, mangsa cedera dihantar ke HJ menggunakan ambulans, sementara bayi yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi itu berakhir pada 11.26 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 10:30 AM