Anggota bomba membawa naik mayat mangsa menggunakan takal dari gaung sedalam 50 meter. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba membawa naik mayat mangsa menggunakan takal dari gaung sedalam 50 meter. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Zulkifli Zainuddin

LELAKI maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terhumban dalam gaung dalam kejadian berhampiran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pergau, Jalan Jeli-Grik, di Jeli petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, Razali Sa’ari, 50, antara lebih 100 peserta konvoi motosikal Kawasaki Malaysia dalam perjalanan dari Shah Alam ke Besut.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusuff Jaafar berkata, sebaik mangsa tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Kawasaki Versys 650cc yang ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas.

“Mangsa yang bekerja sebagai pembantu teknik di sebuah syarikat di Shah Alam kemudiannya tercampak dengan ketinggian 50 meter ke dalam gaung.

“Akibat kecederaan parah, mangsa maut di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusuff berkata, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.51 petang sebelum sebuah jentera bersama seorang pegawai dan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa sudah meninggal dunia.

“Kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaikkan mangsa dengan menggunakan sistem takal sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 September 2018 @ 9:22 PM