Siti Nor Hidayatidayu Razali


JENAZAH bayi lelaki berusia tiga bulan yang maut dalam kemalangan di Batu 15, Jalan Raya Timur Barat, Jeli, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Sabak, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mangsa, Muhammad Hadif Hilmifarizal dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari.

Kemalangan 6.30 petang semalam menyebabkan kereta jenis Toyota Vios yang dipandu Inspektor Hilmifarizal Saad, 31, dan isteri, Nur Fariza Zainol, 31, serta anak mereka, Hani Zhafira, 2, dan Muhammad Hadif terjunam ke dalam gaung sedalam 300 meter di Batu 15, Jalan Raya Timur Barat, Jeli.

Akibatnya Muhammad Hadif maut di lokasi kejadian dan bapa, ibu serta kakaknya mengalami kecederaan.

Mereka dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan susulan.

Nenek mangsa, Faridah Che Mat, 51, berkata, cucu keempatnya itu sangat rapat dengannya memandangkan dia menjaga anaknya, Nur Fariza Zainol, 31, ketika berpantang.

Katanya, dia dan suami, Zainol Saad, 55, reda dengan kejadian itu kerana itu ujian daripada Allah SWT untuk keluarganya.

"Saya tahu kejadian itu ketika waktu Maghrib semalam dan terus bergerak dari rumah di Ayer Hitam, Kedah menuju Kelantan," katanya di sini, hari ini.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan, seorang bayi berusia tiga bukan maut dalam kemalangan di Batu 15, Jalan Raya Timur Barat, Jeli, selepas kereta jenis Toyota Vios dipandu bapanya terjunam ke dalam gaung.

Pemandu, Hilmifarizal Saad, 31; isteri, Nur Fariza Zainol, 31, dan anak sulung mereka, Hani Zhafira, 2, mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 3:04 PM
KEADAAN kenderaan yang terjunam ke dalam gaung. Gambar kecil, Allahyarham Muhammad Hadif Hilmifarizal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar dan ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terjunam ke dalam gaung. Gambar kecil, Allahyarham Muhammad Hadif Hilmifarizal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar dan ihsan bomba