KETUA Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin (lima, kiri) bergambar sebelum memulakan penjelajahan ke beberapa cawangan dan ejen ASNB pada Program Pelepasan Skuad ‘Kemaskini Butiran Anda Segera 2019 (Kembara PNB 2019) hari ini. Foto Bernama
KETUA Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Mohammad Hussin (lima, kiri) bergambar sebelum memulakan penjelajahan ke beberapa cawangan dan ejen ASNB pada Program Pelepasan Skuad ‘Kemaskini Butiran Anda Segera 2019 (Kembara PNB 2019) hari ini. Foto Bernama
Nabil Basaruddin


AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga tetap, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) sebanyak 5.00 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

Pengagihan dana yang dahulunya dikenali Amanah Saham 1Malaysia itu menjadikan jumlah pembayaran pendapatan sebanyak RM670.5 juta, akan dibayar kepada 496,705 pemegang unit yang memiliki lebih daripada 13.6 bilion unit.

Selain itu, ASNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga berubah, iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 bagi tempoh kewangan sama, masing-masing sebanyak 3.75 sen seunit dan 4.20 sen seunit.

Pengagihan itu menjadikan jumlah pembayaran pendapatan sebanyak RM15.1 juta untuk ASN Equity 5 dan RM46.6 juta untuk ASN Sara 2.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, di sebalik keadaan pasaran semasa yang tidak menentu, PNB terus menyaksikan peningkatan dalam bilangan unit dalam edaran (UIC) bagi kesemua 14 dana.

“ASN Sara 2 berjaya menarik seramai 27,804 pemegang unit yang melanggan 1.1 bilion unit dalam tempoh satu tahun selepas pelancarannya.

“Ini mencerminkan tahap kepercayaan pelabur terhadap PNB, yang akan sentiasa kami pelihara,” katanya pada kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengagihan pendapatan dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan untuk ASM 3, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, ianya berdasarkan jumlah unit dimiliki pada hujung tahun kewangan dana.

Pembayaran pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober ini untuk ASM 3 dan pada 2 Oktober untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Urus niaga ditangguh buat sementara waktu dari 26 September hingga 30 September untuk ASM 3 dan untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 dari 28 September hingga 1 Oktober, bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun melalui portal ASNB atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau dengan ejen ASNB di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 6:41 PM