Antara peserta Merdeka #QuranHour. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Antara peserta Merdeka #QuranHour. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Ayusliza Azizan


MERDEKA #QuranHour (MQH) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 31 Ogos ini akan disertai kira-kira 200 pelarian etnik Rohingya bagi menunjukkan rakyat dari negara lain turut dapat duduk bersama mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran secara beramai-ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Marhaini Yusoff berkata, selain pelarian etnik itu, terdapat penyertaan daripada rakyat Indonesia, bekas banduan, tentera dan polis.

"Orang dewasa, belia dan kanak-kanak akan turut berhimpun membaca al-Quran sekali gus membuktikan bahawa ia tiada faktor persempadanan.

"Kita juga menampilkan kanak-kanak pelarian etnik Rohingya, Abdul Razak Abdul Mubin, 6, yang fasih menghafal surah Yasin," katanya ketika ditemui di Kompleks Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, dia begitu bersemangat kerana berpeluang menyertai program berkenaan.

"Saya mula belajar membaca al-Quran ketika berusia lima tahun dan semakin meminatinya.

"Ini adalah kali pertama saya menyertai program membaca al-Quran secara beramai-ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 6:54 PM