Abdul Azeez  menyampaikan amanat sempena pelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2017.
Abdul Azeez menyampaikan amanat sempena pelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2017.
HM Digital

Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) sudah mengenal pasti beberapa lokasi bagi membina kompleks jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dengan adanya kompleks itu nanti, semua jemaah haji Malaysia boleh ditempatkan di bawah satu bumbung, tidak seperti sekarang.

Menurutnya, beliau bersama pengurusan kanan TH meninjau beberapa lokasi yang dicadangkan Arab Saudi bagi pembinaan kompleks berkenaan.

“Lokasi (Makkah) yang dipilih itu ditentukan tidak lama lagi tetapi yang pasti ia mesti tidak jauh dari Masjidilharam.

“Tak payah ada maktab dah nanti. Doakan satu hari nanti kita dapat membina kompleks TH untuk seluruh jemaah haji Malaysia,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu antara inisiatif yang dibincangkan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ketika lawatan rasminya ke Malaysia, Mac lalu.

Terdahulu, beliau beramah mesra dengan jemaah haji Malaysia serta bersama-sama memeriahkan majlis prasambutan Hari Kebangsaan 2017 yang serentak dengan Hari Wukuf, esok.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah, ahli Lembaga Pengarah TH dan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, jemaah haji patut bersyukur dan rasa bertuah kerana pada tahun ini, sambutan Hari Kebangsaan kebetulan serentak dengan Hari Wukuf di Arafah.

“Justeru, selain berdoa untuk diri sendiri dan keluarga di Arafah nanti, doakan juga keselamatan, kesejahteraan dan kemakmuran negara kita yang tercinta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sejak diperkenalkan pada 2011 hingga tahun ini, 5,811 orang berpeluang menunaikan ibadat haji melalui tajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seramai 30,200 jemaah haji terpilih menunaikan Rukun Islam Kelima pada tahun ini. Bilangan mereka yang mendaftar dan sedang menunggu giliran pula lebih 2.5 juta orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:51 AM