JEMAAH yang terkandas berkumpul di lobi hotel sementara menunggu penerbangan mereka yang dijadualkan berlepas malam ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
JEMAAH yang terkandas berkumpul di lobi hotel sementara menunggu penerbangan mereka yang dijadualkan berlepas malam ini. FOTO Nursyahirah Marzuki
Nursyahirah Marzuki


Sepang: Sekumpulan 59 jemaah umrah terpaksa mengambil inisiatif untuk membeli tiket baru bagi meneruskan niat menunaikan ibadah umrah selepas dua minggu terkandas.

Seorang jemaah, Mohamad Adi Negara, 36, berkata, dia dan jemaah lain terpaksa mengeluarkan wang simpanan masing-masing bagi menampung perbelanjaan tiket baru untuk ke Tanah Suci.

"Kami semua sepakat untuk membeli tiket penerbangan sendiri walaupun ada di antara kami terpaksa meminjam wang dari jemaah lain kerana tidak sanggup lagi menunggu pihak ejen tiket menyelesaikan masalah terbabit.

"Jumlah keseluruhan tiket yang perlu dibayar adalah sebanyak RM220,000 dengan dua kali penerbangan," katanya ketika ditemui di sebuah hotel penginapan di sini, hari ini.

Kumpulan berkenaan sepatutnya berlepas ke Tanah Suci 1 Disember lalu menerusi penerbangan Eagle Express dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), namun penerbangan ditangguhkan beberapa kali akibat masalah tiket.

Mohamad Adi berkata, 40 jemaah akan berlepas ke Tanah Suci dengan menaiki pesawat Royal Jordanian pada 11.55 malam ini.

Sementara, baki jemaah lain akan berlepas pada petang esok dengan menaiki pesawat Flynas.

"Dalam hal ini, agensi pelancongan tidak bersalah kerana selama berada di hotel, mereka sentiasa berada bersama kami malah turut sama membantu membeli tiket baru.

"Kami hampa dengan perkhidmatan ejen tiket dan akan membuat aduan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi membolehkan tindakan susulan diambil ke atas mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2016 @ 7:02 PM