BAKAL jemaah haji dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia perlu menempah lawatan mereka ke Makkah melalui laman web kerajaan, bukannya melalui agensi pelancongan. FOTO EPA
BAKAL jemaah haji dari Eropah, Amerika Syarikat dan Australia perlu menempah lawatan mereka ke Makkah melalui laman web kerajaan, bukannya melalui agensi pelancongan. FOTO EPA
Agensi

Riyadh: Hanya beberapa minggu sebelum ibadat haji tahunan, Arab Saudi memperkenalkan peraturan baharu iaitu bakal pengembara dari negara barat mesti menempah lawatan mereka ke Makkah melalui laman web kerajaan, bukannya melalui agensi pelancongan.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan jemaah haji dari Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Australia perlu memohon melalui laman web mutawifnya dan jemaah haji akan mengetahui sama ada mereka mendapat tempat melalui 'loteri automatik' atau cabutan.

Portal Middle East Eye melaporkan bagaimanapun, kementerian tidak menyatakan bila cabutan akan akan dilakukan, tetapi menasihatkan bakal jemaah haji untuk meminta bayaran balik daripada pengusaha atau ejen pelancongan yang mengambil deposit untuk individu yang ingin mengerjakan haji.

Bakal jemaah haji kini perlu memohon tempat untuk menghadiri haji dan selepas permohonan diluluskan, menempah penerbangan dan hotel mereka secara terus dengan Kerajaan Arab Saudi.

Riyadh belum mengeluarkan harga untuk pakejnya untuk jemaah haji antarabangsa, tetapi berkata, ia termasuk harga untuk penerbangan dan penginapan.

Masih tidak jelas apa yang mendorong Riyadh mengubah prosesnya begitu hampir dengan permulaan musim haji, tetapi ini mungkin bermakna jemaah haji yang menunggu sejak wabak koronavirus akan kehilangan peluang untuk menyempurnakan ibadat haji.

Bagi menjamin tempat mereka menunaikan haji, ramai jemaah haji meletakkan deposit dengan ejen pelancongan di negara mereka sendiri.

Tetapi sejak pengumuman itu, ramai ejen memulangkan semula wang mereka.

Jemaah haji biasanya mengambil masa berbulan-bulan untuk mempersiapkan diri mengerjakan haji dengan menghadiri seminar bagi memastikan ibadah haji selesai dengan betul.

Pada April, Arab Saudi mengumumkan mereka membuka semula ibadat haji tetapi hanya membenarkan sejuta jemaah yang divaksin tiga kali dan mereka yang berumur di bawah 65 tahun untuk menunaikan haji, tahun ini.

Pada Mei, Duta Arab Saudi ke United Kingdom, Khalid bin Bandar al-Saud memberitahu, semua parti mengenai haji dan umrah supaya memberitahu bakal jemaah haji untuk menghubungi ejen (perjalanan) dan menuntut bayaran balik.

Khalid juga memberitahu ahli parlimen untuk meminta ejen pelancongan Britain untuk bayaran balik daripada rakan kongsi tempatan mereka di Arab Saudi jika mereka meletakkan deposit untuk hotel atau pengangkutan.

Sistem baharu itu dibuat beberapa bulan selepas agensi pelancongan di Eropah, AS dan Australia dibiarkan dalam tanda tanya oleh Kementerian Haji di Arab Saudi dan tidak diberitahu jumlah tempat yang diperuntukkan kepada mereka.

Pengarah Agensi Pelancongan Haji di London, Yusuf berkata, pengumuman Arab Saudi mengubah industri itu dalam sekelip mata.

"Kami melakukan umrah dan haji selama bertahun-tahun dan mendapatkan apa-apa daripada kementerian adalah sangat sukar, jadi bagaimana jemaah haji akan mendapatkan apa yang mereka perlukan," kata Yusuf kepada Middle East Eye.

"Ramai ejen bergantung pada haji untuk keuntungan utama mereka.

"Sekarang mereka kemungkinan besar akan bergantung kepada umrah untuk meneruskan hidup, tetapi itu akan menjadi lebih sukar memandangkan betapa sengitnya pasaran umrah dengan agensi lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:45 AM