HM Digital

Gerik: Seekor gajah jantan berusia 10 hingga 12 tahun mati dilanggar sebuah bas persiaran di Kilometer 59, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, pemandu berusia 62 tahun dan 32 penumpang di dalam bas berkenaan tidak cedera walaupun kenderaan itu rosak teruk di bahagian cermin.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan mendapati bas dari Jeli ke Gerik melalui kawasan itu sebelum gajah berkenaan keluar dari kawasan hutan di sebelah kanan jalan.

Katanya, gajah itu dipercayai secara tiba-tiba melintasi jalan berkenaan dan pemandu bas tidak sempat mengelak menyebabkannya melanggar haiwan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, gajah terbabit rebah dan bangun semula berjalan ke kiri bahu jalan berumput sebelum duduk dan mati.

“Gajah itu luka di bahagian kepala dan belakang badan, manakala pemandu serta penumpang bas tidak cedera,” katanya.

Ismail berkata, polis memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan, Loo Kean Seong berkata, pihaknya yang dihubungi mengambil tindakan segera dengan menutup bangkai haiwan itu menggunakan kanvas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 10:22 AM