Bangkai gajah yang mati dilanggar sebuah bas di Gerik. FOTO ihsan pembaca
Bangkai gajah yang mati dilanggar sebuah bas di Gerik. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEEKOR gajah jantan berusia 10 tahun mati dilanggar sebuah bas persiaran di Kilometer 60, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa, Gerik, hari ini.

Dalam kemalangan pada 5.30 pagi itu, pemandu serta semua penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Loo Kean Seong berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan menutup bangkai haiwan itu menggunakan kanvas.

Katanya, pihaknya sedang menunggu kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak tiba untuk menjalankan bedah siasat ke atas bangkai haiwan berkenaan.

"Anggota PERHILITAN akan menanam bangkai haiwan itu hari ini tapi sebelum itu kita memotong gading gajah itu bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambilnya.

"Saya tidak boleh maklumkan di mana lokasi bangkai ini ditanam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2017 @ 1:12 PM