SEEKOR gajah dewasa menggemparkan orang ramai yang berhenti rehat di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik, Perak.
SEEKOR gajah dewasa menggemparkan orang ramai yang berhenti rehat di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik, Perak.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


ORANG ramai yang berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) berhampiran Puncak Titiwangsa, Gerik, Perak, gempar apabila seekor gajah dewasa muncul di kawasan hentian itu sebelum merobohkan pagar serta `meronda' di dalam kawasan tumpuan awam berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) , Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejadian dilaporkan berlaku jam 6 petang kelmarin apabila pihak PERHILITAN di Gerik dimaklumkan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik berhubung kemunculan seekor gajah.

Menurutnya, kemunculan gajah itu di Hentian R&R, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, menyebabkan pengunjung lari ketakutan.

"Seramai lima kakitangan PERHILITAN bergegas ke lokasi kejadian. Walau bagaimanapun gajah itu sudah keluar dari kawasan hentian dan memasuki hutan berhampiran.

"Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada orang awam dan gajah itu hanya merosakkan pagar serta memakan pokok palma yang ditanam di tepi hentian berkenaan," katanya kepada wartawan.

Menurutnya, berdasarkan gambar diambil pekerja di hentian itu, gajah terbabit adalah gajah jantan dengan saiz tapak kaki sekitar 38.10 sentimeter.

Kadir berkata, susulan kejadian itu pihaknya akan terus memantau kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kejadian itu turut menjadi tular di media sosial apabila kelibat gajah setinggi lebih tiga meter itu dilihat melanggar pagar besi sebelum berjalan di dalam kawasan R&R berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 1:18 PM