KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz menunjukkan antara dadah yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
KETUA Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz menunjukkan antara dadah yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas pil dan serbuk dipercayai ekstasi dianggar bernilai RM222,250 dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Taman Muhibah, Ulu Tiram di sini, tengah malam semalam.

Dalam serbuan jam 12.50 tengah malam itu, suspek lelaki yang juga warga emas berusia 67 tahun ditahan bersama 2,175 biji pil dipercayai ekstasi dan 31 gram serbuk kuning juga dipercayai ekstasi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki yang menyewa rumah berkenaan kira-kira lapan tahun lalu dan aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak lima bulan lalu.

Beliau berkata, kediaman berkenaan dipercayai dijadikan tempat menyimpan dadah sebelum diedar dipercayai ke pusat-pusat hiburan sekitar negeri ini.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sekiranya ada individu lain yang bergerak aktif bersama-sama suspek.

"Suspek kini ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 2:13 PM