MOHD Mokhtar (kanan) menunjukkan bahan yang digunakan untuk membuat dadah yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
MOHD Mokhtar (kanan) menunjukkan bahan yang digunakan untuk membuat dadah yang dirampas. FOTO Zain Ahmed
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis membongkar makmal memproses pil ekstasi di Taman Sri Pelangi di sini dan merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM8.1 juta, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan rumah itu, dua lelaki berusia 37 dan 40 tahun ditahan.

Beliau berkata, turut dirampas 58 kilogram serbuk disyaki dadah ekstasi, 5,290 bijil pil disyaki ekstasi, sekilogram syabu, dua kilogram serbuk bahan kimia dan sejumlah botol berisi bahan kimia serta peralatan memproses pil ekstasi.

"Dalam serbuan ini juga kita menemui empat senapang angin, dua pistol angin dan dua butir peluru," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Menurut Mohd Mokhtar, susulan serbuan itu, empat lagi serbuan dibuat di Taman Sutera, Taman Century Garden, Bandar Baru Permas Jaya dan Taman Daya antara Jumaat hingga kira-kira 12.20 tengah malam, Sabtu lalu.

Katanya, dalam empat serbuan itu, empat lagi suspek ditahan berusia antara 37 hingga 45 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 1:00 PM