SEORANG anggota tentera menyerahkan pistol kepada Abd Aziz sebagai simbolik pelepasan ekspedisi.
SEORANG anggota tentera menyerahkan pistol kepada Abd Aziz sebagai simbolik pelepasan ekspedisi.
ANGGOTA tentera yang terbabit dalam Ekspedisi Jejak Yamashita.
ANGGOTA tentera yang terbabit dalam Ekspedisi Jejak Yamashita.
BEBERAPA anggota menolak basikal ketika mendaki bukit.
BEBERAPA anggota menolak basikal ketika mendaki bukit.
GELAGAT sebahagian anggota tentera sewaktu berhenti rehat.
GELAGAT sebahagian anggota tentera sewaktu berhenti rehat.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

Berdasarkan sejarah, basikal digunakan sebagai alat pengangkutan paling mudah, jimat dan praktikal dalam operasi ketenteraan.

Sewaktu Perang Dunia Kedua, basikal antara pengangkutan penting digunakan oleh tentera Jepun ketika penaklukan Tanah Melayu.

Bagi mengimbas sejarah ketenteraan ini, seramai 201 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan 15 pegawai, 52 anggota lain-lain pangkat dan 134 pegawai kadet Kolej Tentera Darat Kem Segenting, Port Dickson menyertai Ekspedisi Jejak Yamashita dalam usaha mengimbas sejarah dan menguji fizikal serta mental mereka.

Tomoyuki Yamashita adalah Jeneral Tentera Imperial Jepun ketika Perang Dunia Kedua. Dia paling dikenali kerana berjaya memimpin Ketumbukan Ke-25 Tentera Jepun ketika kempen penaklukan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Kerana kejayaan ini, Yamashita menerima jolokan 'Harimau Malaya'.

Bermula 23 Februari lalu, setiap anggota perlu melengkapkan kayuhan sejauh 385 kilometer selama sembilan hari bermula di Kem Segenting dan tamat di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor.

Bagi membolehkan setiap anggota memahami sejarah ketenteraan negara, peserta akan berhenti di sembilan 'check point' yang dikenal pasti sebagai lokasi berlaku pertempuran antara tentera Jepun dengan tentera Britain selain Askar Melayu.

Komandan Kolej Tentera Darat Kem Segenting, Kolonel Abd Aziz Ahmad berkata, ekspedisi berbasikal dipilih berikutan kenderaan itu tersenarai sebagai alat pengangkutan ketenteraan dan bagi memenuhi kehendak silibus pegawai kadet yang akan mengambil peperiksaan.

Katanya, atas faktor berkenaan, buat kali pertama ekpedisi berbasikal diadakan oleh ATM dengan setiap peserta wajib berkayuh memakai uniform lengkap, membawa kit pertempuran seberat 10 kilogram selain senjata.

"Apa yang kita cuba terapkan dalam ekspedisi ini ialah penggunaan basikal dalam aktiviti ketenteraan yang sememangnya akan melatih serta menguji fizikal dan mental.

"Paling utama, kita harapkan dengan ekspedisi ini setiap anggota yang terbabit akan dapat lebih memahami sejarah pertempuran di lokasi yang kita sudah kenal pasti," katanya.

Abd Aziz berkata, menerusi ekspedisi itu juga, anggota diwajibkan membuat pembentangan sejarah yang berlaku di kawasan berkenaan, selain terbabit dengan aktiviti bersama masyarakat setempat menerusi program 'Tentera Bersama Rakyat' (TBR).

"Kejayaan ekpedisi ini akan menjadi penentu kepada kesinambungan penganjurannya pada masa depan. Paling utama, kita mahukan anggota terbabit dapat memahami keperluan penggunaan basikal yang mampu melatih fizikal dan mental mereka," katanya.

Pegawai Kadet Farah Khairunnisa Arif, 24, antara anggota yang terbabit dalam ekspedisi itu, mengakui ia lebih mencabar mental dan fizikal dan tidak sama dengan aktiviti berbasikal biasa yang pernah disertainya sebelum ini.

Katanya, cabaran ini sangat berbeza kerana mereka perlu memakai uniform lengkap sepanjang berkayuh dan membawa kit peperangan.

"Memang mencabar tapi saya rasa teruja dan bersemangat kerana tidak pernah lagi menyertai ekspedisi sebegini.

"Paling membanggakan, kami membawa imej ATM yang tidak mudah mengalah dalam apa-apa juga cabaran baik dari aspek fizikal mahupun mental," katanya.

Pegawai Kadet Mohammad Shafiq Mustafa, 34, mengakui kayuhan ini sungguh mencabar namun memberi makna sangat mendalam kepada dirinya.

"Saya memang aktif berbasikal. Kalau ikutkan, memang biasa de­ngan aktiviti berbasikal berbentuk jambori dan perlumbaan, tapi aktiviti berbasikal kali ini lain sebab ia tidak terbuka kepada orang awam.

"Saya harap kayuhan ini dapat memenuhi kehendak silibus kolej (Kolej Tentera Darat) dan memberi manfaat kepada saya," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kadet Muhammad Syazwan Sazali, 23, yang kali pertama terbabit dalam aktiviti kayuhan sungguh teruja dengan ekspedisi berkenaan.

Katanya, biarpun tiada pengalaman berbasikal, latihan selama beberapa hari sebelum ekspedisi membantunya meningkatkan skil kayuhan dan semangat.

"Saya tahu ekspedisi ini sukar tapi atas nama ATM saya akan buat yang terbaik. Paling utama, saya nak tahu sejauh mana kemampuan fizikal dan mental saya selain ingin merasai bagaimana tentera dulu berkayuh dan mampu berperang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 5:03 AM