MANGSA dihantar ke hospital dengan ambulans. FOTO Ihsan Bomba
MANGSA dihantar ke hospital dengan ambulans. FOTO Ihsan Bomba
Amrullah Abdul Karim


"JERITAN kakak mengejutkan kami semua yang berada di dalam rumah. Kami nampak tingkap terbuka dan terkejut apabila menemui dia meraung kesakitan di dalam perigi yang dalamnya lebih lima meter," kata S Rajesh, 43.

Dia berkata demikian ketika menceritakan detik cemas yang berlaku kepada kakaknya, S Rajaswari, 45, yang terjatuh ke dalam perigi di rumahnya di Kampung Timah SKC, di Bukit Beruntung, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, Rajaswari yang mengalami masalah mental, terselamat selepas ditemui tersangkut pada sebatang besi di dalam perigi berkenaan,

Rajesh berkata, kakaknya bernasib baik apabila terselamat daripada lemas selepas berpaut pada cerucuk besi di dinding perigi itu.

Menurutnya, kakaknya hanya mengalami cedera ringan, namun kesejukan kerana terendam lama di dalam air perigi.

"Dia memang selalu meronta mahu keluar dari rumah. Tapi kali kali ini tak tahu apa dia buat... tiba-tiba dia buka tingkap dan keluar rumah.

"Kami hanya sedari apabila terdengar jeritannya dan ketika itu dia sudah jatuh dalam perigi yang terletak di belakang rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Timah SKC, di Bukit Beruntung, semalam.

Rajesh berkata, pada mulanya, dia menyangka kakaknya hanya jatuh di dalam longkang, namun terkejut melihatnya di dalam perigi.

Katanya, dalam keadaan panik, dia mencari jalan menyelamatkan kakaknya sebelum menghubungi bomba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba, Kamil Hamadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.31 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan 13 anggota bersama jentera dan ambulans bomba bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, anggota bomba melakukan teknik 'hauling' untuk mengeluarkan mangsa dari perigi tersebut sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berita berkaitan:

Jatuh perigi, mujur hanya cedera

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 3:12 PM