Nurul Hidayah Bahaudin


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menggeledah tujuh lokasi bagi menyiasat salah laku berkaitan perlombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang.

Menurut sumber, antara kawasan yang digeledah adalah pejabat pelabuhan Kuantan, pejabat kastam serta beberapa syarikat yang dikaitkan dengan aktiviti itu.

“Pelbagai dokumen termasuk borang berkaitan kastam, penyata bank, dokumen eksport serta laptop turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Lokasi lain yang turut digeledah adalah di rumah semua suspek yang ditahan dan merampas beberapa dokumen seperti akaun bank bagi tujuan siasatan," katanya.

Katanya, SPRM juga sudah menghantar permohonan bagi menyekat sebarang pengambilalihan harta mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM 2009.

"Seramai 18 saksi terdiri daripada pemandu lori yang membawa muatan bauksit haram, pengurus, penyelia syarikat serta kerani syarikat sudah diambil keterangan hari ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Sri Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Harian Metro semalam melaporkan penahanan sembilan kakitangan Pejabat Galian dan Tanah (PTG) Pahang dan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berpangkat penolong pengarah berhubung salah laku berkaitan perlombongan haram bauksit di Kuantan, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:30 PM