SEBAHAGIAN longgokan bauksit di sekitar Bukit Goh. Gambar kecil, notis sitaan SPRM. FOTO Farizul Hafiz Awang
SEBAHAGIAN longgokan bauksit di sekitar Bukit Goh. Gambar kecil, notis sitaan SPRM. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohd Fauzi Abdullah


Kuantan: Anggaran bauksit disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bernilai RM1.289 bilion (ASD300 juta) bagi menghalangnya dibawa keluar untuk semua aktiviti termasuk perniagaan.

Jumlah itu berdasarkan kenyataan dikeluarkan SPRM kelmarin yang menyita 10 juta tan simpanan bahan mineral berkenaan serta-merta di beberapa lokasi daerah ini.

Naib Presiden Pertubuhan Pengusaha Mineral Negeri Pahang (PPMNP) Yap Soon Huat berkata, anggaran itu berdasarkan purata harga pasaran semasa bauksit iaitu ASD30 (RM128) bagi satu tan bauksit yang dieksport ke China.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan ada 10 juta tan bauksit disita SPRM.

“Ini kerana aktiviti perlombongan bauksit berkurangan selepas kerajaan menguatkuasakan moratorium, tidak pasti pula kalau ia berkaitan perlombongan haram.

“Ia mengejutkan kerana tahun lalu rekod pengeksportan bauksit kita hanya sekitar lima ke enam juta tan disebabkan ada moratorium dan hanya segelintir pelombong diberikan kebenaran mengeksportnya bagi tujuan pembersihan,” katanya, di sini, semalam.

Katanya, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan nilai itu lebih tinggi kerana harga mineral berkenaan boleh mencecah ASD40 (RM171) bagi satu tan untuk bauksit gred tinggi manakala bagi gred rendah harganya sekitar ASD25 (RM107).

“Jadi, kita ambil purata harga bagi satu tan bauksit iaitu ASD30 untuk dapat jumlah besar,” katanya.

Yap berkata, pada 2015 eksport bauksit ialah 25 juta tan yang diketahui mencatat jumlah eksport paling tinggi di dunia selepas Indonesia menghentikan aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

“Sebab itu saya terkejut apabila dikatakan ada 10 juta tan bauksit lagi sekarang.

“Kalau kita lihat pergerakan lori tidak sehebat 2015 (sebelum moratorium dikuatkuasakan) tetapi bagaimana boleh ada sehingga 10 juta tan?” soalnya.

Dalam kenyataan medianya kelmarin, SPRM memaklumkan menyita 10 juta tan simpanan bauksit bagi menghalang ia dijual dan membantu menjalankan siasatan terhadap isu perlombongan haram di daerah ini.

Badan itu turut mencadangkan kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mengkaji semula pengeluaran permit kelulusan (AP) kepada pengusaha lombong bauksit serta membatalkan semua AP dikeluarkan sebelum ini.

Penyitaan itu dilakukan mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009 dan jika ada pihak melanggar arahan notis penyitaan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 69 akta sama iaitu denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 8:14 AM