Ruwaida Md Zain

Pelabuhan Klang: Rampasan lebih 6,000 kilogram (kg) gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tanduk, tengkorak dan tulang haiwan bernilai RM80 juta menjadi sejarah terbesar kejayaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh 10 tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, semua anggota bernilai tinggi itu ditemui tersorok di belakang timbunan kayu bergergaji di dalam salah sebuah kontena dari Afrika.

Katanya, kontena itu yang diletakkan di Pelabuhan Barat di sini, ditemui Pasukan Operasi Darat JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor pada 2.40 petang, 10 Julai lalu.

"Pasukan Operasi Darat memantau pergerakan kapal yang membawa tiga kontena berisiko dipercayai dari Afrika dan pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas mendapati sebuah kontena disyaki membawa barang larangan.

"Pemeriksaan fizikal seterusnya menemui gading gajah (6,000 kg), tanduk badak sumbu (29 kg), sisik tenggiling (100 kg), tanduk haiwan (14 kg), taring harimau serta tengkorak dan tulang haiwan (300 kg) yang disorokkan dalam sebuah daripada kontena itu.

"Ini adalah rampasan terbesar dalam sejarah JKDM sejak kira-kira 10 tahun lalu. Kali terakhir kes terbesar pada 2012 apabila merampas 500 kg gading gajah bernilai RM2.4 juta, dalam lain-lain rampasan kecil seperti tenggiling, kura-kura," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini, hari ini.

ZAZULI (tiga kiri) menunjukkan rampasan lebih 6,000 kilogram gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tanduk haiwan, tengkorak haiwan dan tulang haiwan bernilai RM80 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar
ZAZULI (tiga kiri) menunjukkan rampasan lebih 6,000 kilogram gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tanduk haiwan, tengkorak haiwan dan tulang haiwan bernilai RM80 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pelabuhan Utara. FOTO Faiz Anuar

Zazuli berkata, siasatan mendapati barang dagangan itu bukan untuk pasaran negara ini, sebaliknya Malaysia sekadar menjadi transit.

"(Kontena) singgah Malaysia tetapi bukan untuk negara ini, mereka akan pindah kapal di Pasir Gudang, Johor... (dan) tidak sepatutnya berhenti di Pelabuhan Klang, tetapi sebab kita dapat maklumat berhubung dagangan ini, jadi kita tahan terus di sini," katanya.

Menurutnya, dua lagi kontena yang mengandungi kayu bergergaji ditahan untuk siasatan lanjut.

"Jika dijual di pasaran gelap, kita jangka gading gajah itu bernilai RM8,000 sekilogram, badak sumbu RM288,000 sekilogram dan harimau RM10,000 sekilogram," katanya yang memberitahu organ haiwan adalah barang dagangan yang dilarang pengimportannya mengikut Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Beliau menjelaskan siasatan ke atas ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan, manakala kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) akta sama.

Dalam pada itu katanya, pembekalan enam unit mesin pengimbas baru oleh Kementerian Kewangan yang dipasang berperingkat di Pelabuhan Klang sejak November 2021 hingga Mei lalu, menyelesaikan 106 kes dan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 5:50 PM