JEMAAH haji menunggu bersama keluarga untuk pelepasan menunaikan ibadah haji.
JEMAAH haji menunggu bersama keluarga untuk pelepasan menunaikan ibadah haji.

Kelana Jaya: Walaupun pendapatan yang diterima hasil daripada kerja kampung dan menjual tanaman seperti sayur dan buah hanya cukup makan, namun ia bukan penghalang untuk mereka merealisasikan impian menunaikan haji.

Malah, hasil tabungan Mohamad Daud Mohamad Nor, 76, dan pasangannya, Che Mah Md Nor, 70, yang berasal dari Gemencheh, Negeri Sembilan selama 20 tahun itu mencukupi untuk membawa mereka ke tanah suci tanpa perlu meminjam daripada individu lain.

Mohamad Daud berkata, dia sebelum ini berazam untuk membuktikan bahawa kerja kampung boleh membawanya bersama isteri ke tanah suci apabila simpanannya sudah mencukupi.

“Walaupun simpanan itu mengambil masa kira-kira 20 tahun sebelum dapat menunaikan haji namun ia berbaloi kerana hasilnya adalah daripada kudrat sendiri tanpa bantuan individu lain.

“Saya bukannya tidak mahu mengharapkan bantuan daripada anak namun biarlah bersusah dahulu demi menunaikan haji,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Dia yang mempunyai empat anak dan 12 cucu berkata, tahap kesihatannya dan isteri tiada masalah walaupun usia sudah melebihi separuh abad.

“Tahap kesihatan perkara yang paling dititikberatkan kerana tidak mahu ada masalah sepanjang mengerjakan ibadah haji nanti sekali gus menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 3:53 AM