KEADAAN pasar raya yang dipecah masuk. FOTO ihsan PDRM
KEADAAN pasar raya yang dipecah masuk. FOTO ihsan PDRM
Iskandar Shah Mohamed


PASAR raya di Seksyen 15, Shah Alam, dipecah masuk dan wang tunai RM300,000 di tiga peti besi dan satu mesin deposit tunai (CDM) di premis itu yang dipecahkan penjenayah, dilarikan, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, polis menerima panggilan daripada pengurus cawangan pasar raya itu pada jam 7.30 pagi.

"Lelaki berusia 47 tahun itu memaklumkan premis berkenaan dipecah masuk dan beberapa peti besi yang mengandungi wang tunai jualan harian turut dipecahkan.

"Hasil pemeriksaan kemudian mendapati selain satu mesin CDM, tiga peti dipecahkan menggunakan mesin penebuk dengan membabitkan kerugian kira-kira RM300,000," katanya kepada Harian Metro, petang tadi.

Menurut beliau, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsa masuk melalui tingkat atas premis itu kira-kira jam 11.47 malam tadi.

"Suspek yang menutup muka, bertopi dan berjaket dilihat keluar dari premis berkenaan pada jam 5.51 pagi tadi," katanya.

Kata Shafien, ketika kejadian, tiada pengawal keselamatan tetap dan premis hanya dijaga tiga lelaki warga Pakistan yang bekerja lebih masa.

"Semua lelaki berusia 33 hingga 34 tahun berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 7:19 PM