Aslina Abu Bakar

KERAJAAN negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi membantu membina semula rumah kepada keluarga mangsa kebakaran yang mengorbankan seorang wanita di Jalan Kepong, Kampung Pengadang Baru, Kuala Terengganu, petang semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memastikan dengan peruntukan itu pembinaan rumah terbabit akan dapat dijalankan secepat mungkin.

Menurutnya, kerajaan negeri menjangkakan pembinaannya akan dapat dilakukan sebaik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan terhadap kejadian terbabit.

"Saya mewakili seluruh kepimpinan kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang turut kehilangan seorang ahli keluarga dalam kejadian berkenaan.

"Apabila selesai siasatan dan mendapat kelulusan bomba, kerajaan negeri akan membantu melaksanakan proses pembersihan kawasan rumah mereka.

"Pihak bomba juga sudah memberi komitmen untuk menyiapkan siasatan selewat-lewatnya pada Jumaat ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat keluarga mangsa, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31, ditemui rentung di dalam rumah berkenaan kira-kira 6 petang selepas anggota bomba berjaya memadam kebakaran terbabit.

Wanita berasal dari Bukit Depu, Kuala Terengganu itu baru bernikah dengan Abdul Mukmin Ahmad, 35, pada Mac lalu dan pasangan itu baru diraikan di majlis menyambut menantu yang diadakan serentak dengan majlis perkahwinan adik Abdul Mukmin pada 28 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 5:08 PM