Zaid Salim

Kuala Terengganu: Tidak dapat menguruskan pengebumian jenazah adalah saat yang menyedihkan bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga disebabkan Covid-19.

Hanya doa daripada jauh sahaja yang dapat dihadiahkan kepada simati sepanjang tempoh urusan pengebumian yang diuruskan pasukan Bomba dan Penyelamat dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi Animah Mahmood, 45, dia tidak pernah menyangka akan mengalami sendiri situasi itu yang sebelum ini hanya dilihat menerusi kaca televisyen sahaja.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah abang saya positif Covid-19 dan sekali gus membayangkan yang saya serta adik-beradik tidak akan dapat menatap wajah abang buat kali terakhir.

"Kami hanya dibenarkan melihat urusan pengebumian dari jauh sahaja. Tidak tahulah macam mana saya nak gambarkan kesedihan kami ketika itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengadang Baru, di sini, malam tadi.

Menceritakan kembali pemergian abang sulungnya, Mohd Fazil, 47, Animah berkata, arwah meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tidak sampai 24 jam dia dimasukkan ke hospital kerana badannya terlalu lemah, Sabtu lalu.

Katanya, ketika arwah menghembuskan nafas terakhir pada 12.50 tengah hari, Ahad lalu, dia berada di hospital berkenaan kerana menjalani pemeriksaan mata.

"Selesai urusan, sebelum pulang saya menghubungi abang sepuluh minit sebelum dia meninggal dunia, namun tidak berjawab, rupa-rupanya ketika itu arwah sudah tenat.

"Sebaik sahaja tiba di rumah, isteri arwah (Mazni Ibrahim, 47) ada menghubungi memberitahu abang sudah tiada dan saya segera kembali semula ke hospital bersama suami.

"Namun hasrat saya untuk mengucup abang buat kali terakhir tidak kesampaian apabila kami dimaklumkan abang positif Covid-19.

"Kami tidak tahu bagaimana arwah dapat jangkitan itu sedangkan arwah sejak dua tahun lalu hanya terlantar di katil selepas menghidap pelbagai penyakit kronik seperti masalah hati, kencing manis dan jantung," katanya.

ANIMAH melihat rakaman video pengkebumian jenazah abangnya, Mohd Fazil yang meninggal dunia akibat Covid-19 menerusi telefon pintarnya di rumahnya di Kampung Pengadang Baru. FOTO Zaid Salim
ANIMAH melihat rakaman video pengkebumian jenazah abangnya, Mohd Fazil yang meninggal dunia akibat Covid-19 menerusi telefon pintarnya di rumahnya di Kampung Pengadang Baru. FOTO Zaid Salim

Katanya, jenazah arwah abangnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Depu, di sini, yang diuruskan pasukan Bomba dan Penyelamat dan kakitangan KKM, jam 6 petang.

Animah yang menghidapi angin ahmar sejak sembilan tahun lalu berkata, kali terakhir dia bersama tiga lagi adik-beradiknya bertemu arwah pada hari Wesak di rumahnya di Kampung Bukit Depu, di sini.

"Ketika itu arwah baru pulang selepas beberapa hari dimasukkan ke hospital dan meminta kami adik-beradik ke rumahnya.

"Saya tidak menyangka permintaan arwah itu adalah petanda dia mahu meninggalkan kami buat selama-lamanya.

"Ketika itu hanya saya dan adik sahaja yang hadir manakala seorang lagi abang tidak hadir kerana tinggal di luar Terengganu," katanya yang reda dengan pemergian arwah.

Menurut Animah, mereka reda Allah menjemput arwah abang ketika pandemik Covid-19 melanda negara, namun sedikit terkilan kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir buat lelaki berkenaan.

Animah berkata, dia berkongsi kisah sedih itu bukan berhasrat meraih simpati sebaliknya mahu masyarakat sentiasa menjaga keselamatan diri masing-masing agar dijauhi daripada jangkitan virus berbahaya ini.

"Covid-19 ini sangat bahaya dan kita tidak tahu bila masa ia menjangkiti kita.

"Saya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada arwah abang, terlantar di rumah pun boleh dijangkiti virus Covid-19 sedangkan ahli keluarganya tidak ada yang positif Covid selepas menjalani ujian calitan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 9:26 AM