Mary Victoria Dass


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan enam individu bagi membantu siasatan dakwaan kehilangan sebuah kontena dipercayai mengandungi peralatan radar tentera berteknologi tinggi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Johor, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, mereka yang diambil keterangan terdiri daripada anggota dan pegawai Polis Bantuan PTP serta pegawai kastam yang bertugas di pelabuhan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mereka berusia antara 37 hingga 48 tahun hadir di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 11 pagi hari ini untuk memberi keterangan.

Menurutnya, siasatan dijalankan bagi mengenalpasti sekiranya wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam kejadian itu.

"SPRM juga dalam proses meneliti beberapa dokumen berkaitan yang diperoleh daripada pihak pelabuhan berhubung kejadian itu.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu sekiranya mereka didapati terbabit dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu ini.

"Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu pasukan penyiasat melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:06 PM