ANGGOTA imigresen memeriksa warga asing dlaam ops Ikrar di tapak pembinaan Kampung Binjai Rendah. FOTO Syafiq Ambak
ANGGOTA imigresen memeriksa warga asing dlaam ops Ikrar di tapak pembinaan Kampung Binjai Rendah. FOTO Syafiq Ambak
Zaid Salim


OPERASI memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas berakhirnya tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) jam 12 tengah malam tadi berjaya menahan seramai 37 warga asing daripada 64 orang yang diperiksa di dua lokasi di Kuala Terengganu dan Marang, hari ini.

Tangkapan terhadap PATI terbabit dibuat menerusi Ops Ikrar di dua tapak pembinaan di Batu Burok, Kuala Terengganu dan Kampung Binjai Rendah, Marang bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari ini.

Ops Ikrar diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan (JIM) Terengganu Azlinawati Mohd Zulbi dilakukan dengan pembabitan anggota seramai 15 orang termasuk pegawai.

"Dalam serbuan pertama di Batu Burok, kita memeriksa seramai 52 orang pekerja asing dan daripada jumlah itu, 27 orang ditahan kerana kesalahan mengikut Akta Imigresen.

"Serbuan kedua di kawasan tapak pembinaan di Kampung Binjai Rendah pula, kita menahan seramai lima orang warga asing," katanya.

Menurutnya, kesemua PATI terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa dan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan.

Katanya, semua PATI membabitkan warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia antara 17 hingga 46 tahun itu kemudiannya dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil Berang untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Azlinawati berkata, sejak 15 Februari lalu hingga tengah malam tadi, JIM Terengganu memproses sebanyak 1,836 E-Kad kepada pekerja asing manakala majikan sebanyak 416 kad.

"Kita menganggarkan terdapat 2,000 orang pekerja asing berada di negeri ini dan operasi akan dilakukan secara berterusan bagi menahan warga asing yang ingkar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 3:29 PM