Orang ramai memenuhi kaunter membeli daging sempena Mantai Perdana 2017 Peringkat Negeri Sembilan berhampiran Masjid At Taqwa Paroi, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Orang ramai memenuhi kaunter membeli daging sempena Mantai Perdana 2017 Peringkat Negeri Sembilan berhampiran Masjid At Taqwa Paroi, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


KIRA-KIRA 1,500 penduduk Negeri Sembilan tidak melepaskan peluang membeli daging pada harga lebih murah di Program Mantai Perdana yang diadakan dekat Masjid At-Taqwa, Paroi, Seremban, malam tadi.

Program yang bermula seawal jam 5 petang dan berakhir kira-kira jam 1 pagi tadi sebelum disambung sehingga jam 3 petang hari ini dijangka akan menerima lebih ramai pengunjung yang mula pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri.

Program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menjadi tradisi sejak lebih 10 tahun lalu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah membeli daging pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kali ini ia dijalankan lebih tersusun dengan membuka 20 kaunter pembelian selain menambah jumlah kakitangan bertugas.

"Saya menjangkakan lebih ramai pembeli akan datang untuk mendapatkan daging dan produk pertanian lain pada harga yang murah.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 27.2 tan daging dijual. Bagaimanapun, kita memberi jaminan akan menambah kuantiti daging jika permintaan meningkat," katanya ketika ditemui selepas membuat lawatan pada program itu, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Hasim Rusdi dan Pengarah JPV Dr Azahari Shahridan Abu Bakar.

Mohamad berkata, harga sekilogram daging lembu dijual RM28 sekilogram berbanding harga pasaran antara RM35 sehingga RM38 sekilogram.

Beliau juga memberi jaminan daging diproses mengikut spesifikasi JPV termasuk ternakan bebas penyakit dan proses penyembelihan dilakukan dengan teliti serta dipantau oleh pegawai JPV di pusat persembelihan di Senawang.

Katanya, beliau yakin program ini memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan pendapatan rendah membuat persiapan menyambut hari raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 12:08 PM