AMINUDDIN beramah mesra dengan pengunjung pada program Mantai Perdana. FOTO Hazreen Mohamad
AMINUDDIN beramah mesra dengan pengunjung pada program Mantai Perdana. FOTO Hazreen Mohamad
Mohd Amin Jalil


HAMPIR 100 tan daging lembu dan kerbau dijual pada program Mantai Perdana yang dilaksanakan kerajaan negeri selama dua hari bermula malam tadi di Tapak Bekas Kem Paroi, di Seremban.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, daging lembu dan kerbau masing-masing dijual pada harga RM27 dan RM34 sekilogram dan berpatutan berbanding harga pasaran.

Katanya, program yang diadakan setiap kali menjelang Aidilfitri itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan dan pengusaha tempatan.

"Program Mantai Perdana kali ini dibuat dengan sedikit perubahan di mana kita turut menghantar lembu ke daerah.

"Kita berharap program ini dapat memberi kesan baik kepada penduduk untuk membeli harga daging murah dari pasaran,”€ katanya selepas merasmikan Program Mantai Perdana, di Seremban, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik dan Pengarah JPVNS Dr Zul Edham Wagiman.

Aminuddin berkata, bagi mengurangkan kesesakan ketika membeli daging, pihaknya sudah mengambil langkah dengan menyediakan lorong khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

Beliau berkata, keperluan barangan lain turut dijual di lokasi mantai termasuk ayam, ayam kampung, itik, telur, daging salai, puyuh dan bahan keperluan berkaitan bagi kemudahan orang ramai.

“€œProgram ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat baik dalam membantu mengurangkan perbelanjaan rakyat selain bagi menghidupkan tradisi di negeri ini," katanya.

Mantai, acara tradisi masyarakat di negeri ini ialah dialek yang berasal dari perkataan membantai iaitu hari atau malam untuk menyediakan daging sembelihan sebelum menjelangnya Ramadan dan Syawal setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 9:52 AM