SEBAHAGIAN pengunjung yang beratur membeli daging sempena Mantai Perdana  2016.
SEBAHAGIAN pengunjung yang beratur membeli daging sempena Mantai Perdana 2016.
MOHAMAD  melapah daging sebagai simbolik perasmian Mantai Perdana 2016. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
MOHAMAD melapah daging sebagai simbolik perasmian Mantai Perdana 2016. Turut kelihatan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Program Mantai Perdana 2016 yang dianjurkan di pekarangan Masjid At-Taqwa, Paroi, di sini, kelmarin, penuh sesak apabila kira-kira 10,000 penduduk membanjiri lokasi bagi mendapatkan bekalan daging dan ayam murah.

Program bermula jam 8 malam mendapat sambutan luar biasa sebaik orang ramai berebut-rebut membeli daging lembu, kerbau dan ayam dijual lebih murah berbanding harga pasaran.

Selain penduduk negeri ini, penduduk dari Melaka, Johor dan Selangor, turut sama menyerbu kawasan selepas mengetahui mengenai aktiviti Mantai terbabit.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, seperti kebiasaan, program itu anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Sembilan (JVNS).

Katanya, program tradisi itu unik kerana satu-satunya dianjurkan dalam negara bertujuan membantu
golongan berpendapatan rendah bagi menyambut Aidilfitri.

“Pada malam ini (kelmarin), sebanyak 140 lembu, kerbau dan kambing dibekalkan untuk keperluan orang ramai.

“Selain itu 2,400 ayam, itik dan puyuh turut dijual dan ia dikendalikan pihak Menteri Besar Incorparated (MBI),” katanya.

Mohamad berkata, dalam program itu, sebanyak 30 tan daging lembu, kerbau dan kambing disediakan.

Beliau berkata, harga jualan bagi daging lembu RM20 sekilogram (kg), tulang selangka RM26/kg, ayam segar RM7.40/kg, ayam pencen RM9.50/kg dan ayam kampung salai RM20/kg.

Sementara itu, daging kambing dijual RM33 sekilogram, manakala daging kerbau pula RM34 sekilogram.

“Buat julung kali, keutamaan penjualan daging diberikan kepada pemegang kad penerima bantuan Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan orang kurang upaya (OKU).

“Bagi memudahkan urusan pembelian, kita turut menyediakan laluan khas kepada golongan berkenaan,” katanya.

Hadir sama program itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian negeri, Datuk Hasim Rusdi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 9:48 AM