Aminuddin Harun menyerahkan daging mantai melalui pandu lalu kepada keluarga asnaf di peringkat DUN Sikamat hari ini. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Aminuddin Harun menyerahkan daging mantai melalui pandu lalu kepada keluarga asnaf di peringkat DUN Sikamat hari ini. FOTO IHSAN PEJABAT MB
Mohd Amin Jalil


Seremban: Sedekah daging untuk persediaan sambutan Aidilfitri secara kaedah pandu lalu.

Itu pendekatan dilakukan kerajaan negeri dalam membantu 4,292 keluarga asnaf sempena program mantai Aidilfitri tahun ini di seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah itu selaras dengan arahan terbaru dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang sebarang aktiviti perkumpulan sosial bagi mengekang penularan wabak pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri mengubah konsep Mantai Perdana sebelum ini kepada Mantai Asnaf yang lebih bersasar tahun ini iaitu melalui kaedah pemberian daging percuma kepada golongan asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Konsep asal penganjuran program Mantai Perdana dahulu adalah membolehkan rakyat Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan membeli daging lembu pada kadar harga yang lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

"Penyerahan daging sempena mantai kepada golongan asnaf kali ini terpaksa dilaksanakan secara pandu lalu.

"Setiap keluarga asnaf terpilih akan menerima dua kilogram daging secara percuma," katanya selepas menyerahkan daging berkenaan kepada asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek.

Aminuddin berkata, pengedaran daging berkenaan turut dijalankan serentak di semua daerah di Negeri Sembilan bermula jam 8 pagi membabitkan 44 lokasi edaran yang sudah ditetapkan.

"Pengedaran daging dijalankan melalui beberapa kaedah yang bersesuaian dengan keadaan semasa penerima berdasarkan status kesihatan, jarak kediaman dan logistik.

"Penerima datang ke lokasi yang ditetapkan untuk mengambil daging secara pandu lalu manakala penghantaran ke rumah penerima dilakukan ahli kariah masjid, Penghulu Mukim atau Penyelaras DUN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 4:41 PM