ANGGOTA polis menyiasat kedai emas  di sebuah pasar raya di Tampoi yang dirompak, semalam.
ANGGOTA polis menyiasat kedai emas di sebuah pasar raya di Tampoi yang dirompak, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: “Semua orang seperti tergamam dan tidak berani berbuat apa-apa ketika kejadian yang berlaku kurang daripada lima minit itu,” kata seorang pelanggan sebuah pasar raya di Tampoi di sini, yang menjadi saksi kejadian kedai emas dirompak lelaki bersenjatakan pistol, malam kelmarin.

Saksi berusia 36 tahun itu berkata, dia dan keluarganya berada di pasar raya berkenaan antara jam 7.15 malam hingga 7.40 malam untuk berbuka puasa di sebuah restoran berhampiran kedai emas terbabit.

Katanya, kira-kira jam 7.35 malam, dia keluar dari restoran selepas selesai berbuka puasa dan menghampiri kedai emas itu sebelum terdengar bunyi tembakan.

“Saya dengar dua bunyi tembakan, namun menjangkakan ia bunyi mercun, tetapi terkejut apabila melihat pengawal keselamatan kedai emas itu terduduk dan berlumuran darah dipercayai akibat ditembak.

“Saya lihat tiga lelaki bertopeng muka dan memakai topi keledar bersenjatakan pistol dan tukul besi dengan dua daripadanya memecahkan kaca menyimpan barang kemas, manakala seorang lagi berada di luar kedai menjaga keadaan ketika itu.

“Saya membawa keluarga berdiri jauh dari kedai emas itu dan orang awam yang berada di lokasi kejadian juga hanya berdiam diri dan tidak berani berbuat apa-apa kerana penjenayah mempunyai pistol,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian itu, pengawal keselamatan itu terkena tembakan di bahagian paha, namun dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

“Suspek terdiri daripada empat lelaki yang belum dikenal pasti dan mereka bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi.

“Sejumlah barang kemas berjaya dilarikan, namun nilai kerugian belum dapat diketahui,” katanya.

Beliau berkata, selaras senapang patah milik pengawal keselamatan itu turut dilarikan suspek dalam kejadian yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minit itu.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan dan Op Tutup serta Op Kesan dijalankan di seluruh negeri untuk mengesan suspek.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) dan samun berkumpulan menggunakan senjata api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 7:23 AM