Mustafar (dua kiri) diiringi Omran Omar (kiri)pada Majlis Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Warga Imigresen Selangor Bersama Qariah Masjid Seksyen 7 di Masjid Seksyen 7, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Mustafar (dua kiri) diiringi Omran Omar (kiri)pada Majlis Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Warga Imigresen Selangor Bersama Qariah Masjid Seksyen 7 di Masjid Seksyen 7, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Siti Nor Amirah Abu Bakar


SERAMAI 26,384 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir keluar dari negara ini atas pelbagai kesalahan dari awal Januari lalu hingga kelmarin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, tindakan itu diambil selepas beberapa serbuan dilakukan dalam Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Ikrar di seluruh negara.

Beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan dijalankan tanpa henti dan sehingga pertengahan tahun ini, 6,936 operasi sudah dijalankan.

"Dalam semua operasi ini, seramai 75,190 warga asing diperiksa dan 21,717 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan salah guna pas, bekerja melebihi tempoh ditetapkan serta beberapa kesalahan lain.

"Selain individu, 619 majikan turut ditahan sepanjang tempoh itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar JIM Selangor 2017, di Masjid Seksyen 7 hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Omran Omar.

Dalam pada itu, Mustafar turut memberi amaran kepada majikan yang masih gagal mendaftar pekerja asing supaya berbuat demikian sebelum 30 Jun ini.

"Jika ada majikan gagal berbuat demikian, JIM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil.

"Ini perkara serius yang harus dilakukan oleh setiap majikan supaya tidak berlakunya perkara tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 9:45 PM