PENUNTUT OKU, Siti Nurfarah Hanim menerima sumbangan kerusi roda elektrik daripada Syarikat Muda Osman.
PENUNTUT OKU, Siti Nurfarah Hanim menerima sumbangan kerusi roda elektrik daripada Syarikat Muda Osman.
Oleh Fazurawati Che Lah


UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan peningkatan kemasukan mahasiswa baharu yang positif iaitu sebanyak 27 peratus berbanding tahun lalu bagi sesi akademik 2019/2020.

Ini merangkumi pendaftaran seramai 2,599 pelajar baharu bagi ketiga-tiga kampus iaitu di Bachok, Kampus Kota dan Kampus Jeli.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr Zaliman Sauli berkata, peratusan tinggi itu hasil daripada pelbagai usaha dijalankan Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam meningkatkan keterlihatan (visibility) dan beberapa kemudahan kondusif yang disediakan serta ditambah baik universiti.

Beliau berkata, dalam memastikan kebajikan UMK siswa terpelihara, pihaknya menawarkan Skim Pelajar Bekerja (SPB) kepada penuntut daripada golongan B40 yang mempunyai masalah kewangan dengan memberi pengalaman secara sambilan di jabatan atau fakulti untuk menjana pendapatan sampingan.

Katanya, pihak UMK juga menanggung kos rawatan perubatan penuntut di hospital kerajaan dan hospital universiti sebanyak RM5,000 setahun sepanjang tempoh pengajian di UMK.

“Universiti ini turut memberi Bantuan Khas Pelajar Menjalani Latihan Industri (BKPLI) sebagai inisiatif tambahan dan tanda keprihatinan terhadap masalah kewangan yang dihadapi penuntut ketika menjalani Latihan Industri.

“Bantuan dalam bentuk zakat, infaq, bantuan khas memulakan pengajian, pinjaman jangka pendek dan sumbangan kepada penuntut yang kurang bernasib baik serta ditimpa musibah turut diberikan, selain perlindungan insurans Takaful dan Skim Khairat Kemalangan dan Kematian Pelajar,” katanya.

Bagi memastikan kebajikan penuntut orang kurang upaya (OKU) terjamin, Zaliman memberitahu pembangunan fasiliti mesra OKU juga disediakan.

UMK berjaya memenangi tempat pertama untuk meraih tajaan Biasiswa Fair & Lovely 2019.
UMK berjaya memenangi tempat pertama untuk meraih tajaan Biasiswa Fair & Lovely 2019.

“Pihak universiti menyediakan kemudahan laluan berkerusi roda dan tanjakan (ramp) untuk memudahkan pergerakan pelajar OKU ke kuliah serta menjalani aktiviti harian.

“Selain daripada itu, pihak universiti juga menyediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan kepada penuntut OKU sepanjang pengajian di UMK,” katanya.

Dr Zaliman berkata, dalam menjaga kebajikan siswa, program Gerobok Makanan oleh Pusat Islam UMK dengan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Program Food Bank Siswa dengan kerjasama pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaksanakan bagi membantu siswa yang kurang berkemampuan.

“Penyediaan almari khas berkaca di Masjid UMK berisi pelbagai jenis makanan kering menyihatkan dan mengenyangkan membantu siswa memperoleh makanan, malah mereka juga boleh mendapatkan makanan percuma di fakulti dan jabatan lain di sekitar kampus.

“Projek ini juga dianjurkan bagi menyokong program kupon makanan percuma sepanjang minggu peperiksaan serta majlis berbuka puasa kepada penuntut,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, UMK melalui Institut Keusahawanan UMK (UMKEI) juga menyediakan ruang niaga kios sebanyak 30 unit kepada penuntut untuk berniaga dengan kerjasama Celcom.

Dalam pada itu, UMK turut menempa sejarah apabila berjaya merangkul tempat pertama dalam peraduan undi secara dalam talian dengan mendapat 30,000 undian sekali gus melayakkan 10 penuntut mendapat Biasiswa Fair & Lovely 2019 berjumlah RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:14 AM