PENGAJIAN di masjid antara institusi melahirkan ramai ulama pada zaman silam.
PENGAJIAN di masjid antara institusi melahirkan ramai ulama pada zaman silam.
Dr Mohd Khafidz Soroni

MUNGKIN tidak ramai yang menyedari pada 27 Oktober 2020 (10 Rabiulawal 1442H) lalu, wafatnya syeikh terakhir yang memegang jawatan Syeikh Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah di Dimasyq, Syria iaitu Syeikh Husain Sa'biyyah. Beliau menyandang jawatan berkenaan sejak 1985 selepas kewafatan Syeikh Mahmud ar-Rankusi, Syeikh Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah sebelumnya.

Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah (DHA) antara institusi hadis tertua yang mempunyai sejarah lebih 800 tahun. Di sini, banyak kitab hadis dikhatamkan terutama Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim serta banyak karya besar dihasilkan ulamanya hingga menjadi rujukan umat Islam sehingga kini. Ramai penuntut ilmu datang dari serata ceruk untuk mempelajari hadis, lantas melahirkan ramai ulama yang terkenal.

Nama DHA adalah sempena nama pengasasnya, al-Malik al-Asyraf Musa bin Muhammad bin Ayyub (wafat 635H), anak saudara Sultan Salahuddin al-Ayyubi (wafat 589H) pengasas Daulah Ayyubiyyah yang masyhur. Al-Malik al-Asyraf seorang yang meminati hadis dan mengasihi ulama hadis. Apabila beliau menduduki Dimasyq, beliau membina sebuah institusi pengajian yang dipanggil Dar al-Hadith pada 630H. Majlis pembacaan Sahih al-Bukhari yang pertamanya dilaksanakan Imam al-Husain az-Zabidi (wafat 631H).

Al-Malik al-Asyraf turut membina bersebelahan dengannya sebuah bilik khas yang diletakkan di dalamnya capal Nabi SAW. Capal mulia itu diwasiatkan kepada beliau oleh pemiliknya, an-Nazzam Ibn Abi al-Hadid. Bagaimanapun, capal berkenaan hilang semasa Timurlank meranapkan kota Dimasyq pada 803H.

Secara urutan, DHA sebenarnya institusi hadis kedua selepas Dar al-Hadith an-Nuriyyah yang dibina oleh Nuruddin Zanki (wafat 569H) untuk gurunya, Imam Ibn 'Asakir (wafat 571H) pengarang Tarikh Dimasyq. Bagaimanapun, Dar al-Hadith an-Nuriyyah yang juga institusi hadis pertama di dunia itu berakhir setelah dihancurkan oleh Timurlank.

DHA mampu bertahan lama kerana menjalankan sistem waqaf yang diurus tadbir dengan cukup baik. Malah setelah mewaqafkannya, al-Malik al-Asyraf tidak turut campur tangan dalam hal ehwal pengurusannya. Antara syarat pelantikan Syeikh Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah ialah ia mesti seorang yang berakidah Ahli Sunah aliran Asy'ariyyah dan menguasai ilmu hadis riwayah serta dirayah. Orang pertama yang dilantik sebagai Syeikh Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah ialah Imam Ibn as-Solah (wafat 643H).

Dalam menggalas tanggungjawab itu, beliau mengajar pelbagai kitab hadis dan menyusun kitab Muqaddimahnya yang terkenal. Antara majlisnya yang terbesar ialah pembacaan kitab agung Imam al-Baihaqi iaitu as-Sunan al-Kubra yang berlangsung dalam 757 majlis!

Selepas kewafatannya, jawatan berkenaan disandang oleh Imam al-Harastani (wafat 663H) seterusnya Imam Abu Syamah (wafat 665H) dan Imam an-Nawawi (wafat 676H), pakar rujuk tersohor mazhab Syafie.

Antara yang menyandangnya dalam kurun kelapan Hijrah ialah al-Fariqi (wafat 703H), Ibn al-Wakil (wafat 716H), as-Syarisyi (wafat 718H), az-Zamlakani (wafat 726H), al-Hafiz al-Mizzi (wafat 742H), pengarang Tahzib al-Kamal; Imam at-Taqiy as-Subki (wafat 756H), anaknya, Imam at-Taj as-Subki (wafat 771H) dan Imam Ibn Kathir (wafat 774H).

Pada kurun kesembilan Hijrah pula, Imam al-Bulqini (wafat 805H), Syihabuddin al-Husbani (wafat 815H), Syamsuddin al-Qaisi (wafat 842H), al-Hafiz Ibn Nasiriddin (wafat 842H), Ibn as-Sairafi (wafat 844H) dan al-Hafiz Ibn Hajar (wafat 852H) yang pernah tinggal di Dimasyq selama 100 hari serta memperdengarkan 1,000 juzuk hadis.

Namun, pada kurun berikutnya, kegemilangan DHA mula merudum. Pelbagai faktor yang menyebabkan kemerosotan ini terutama tiada lagi tokoh hebat yang muncul seperti sebelumnya dan berlaku korupsi dalam pengurusan waqafnya.

Sehingga kurun ke-13 Hijrah, keadaan bertambah menyayat hati. Tiada lagi pengajian hadis sebaliknya ia menjadi tempat yang dihuni oleh penceroboh hingga akhirnya dimiliki oleh seorang wanita yang menjadikannya sebagai pusat menjual arak.

Melihat keadaan yang amat menyedihkan, seorang alim ketika itu, Syeikh Yusuf al-Maghribi (wafat 1279H) yang menyedari keunggulan sejarahnya berusaha mengembalikan semula kegemilangan DHA. Beliau pada awalnya tidak mendapat kerjasama daripada gabenor Dimasyq.

Namun, apabila bertemu dengan al-Amir Abdul Qadir al-Jaza'iri (wafat 1300H), dia bersetuju membantunya. Al-Amir Abdul Qadir membeli tempat berkenaan pada 1272H dan memulihkan semula fungsinya. Pada awal Rejab 1274H, al-Amir Abdul Qadir membuka kembali DHA dengan memulakan majlis pembacaan Sahih al-Bukhari sehingga khatam.

Jawatan Syeikh Dar al-Hadith al-Asyrafiyyah kemudian disandang oleh Syeikh Badruddin al-Hasani yang digelar 'al-Muhaddith al-Akbar' (wafat 1354H). Seterusnya, oleh Syeikh Abu al-Khair al-Maidani (wafat 1380H) sebelum disandang oleh Syeikh Mahmud ar-Rankusi (wafat 1405H).

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Malaysia (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 10:36 AM