GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


SEMUA kampus Universiti Sains Malaysia (USM) ditutup sementara secara berperingkat bermula esok hingga 5 April depan sebagai langkah mencegah penularan wabak Covid-19.

Naib Canselor USM, Profesor Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihaknya akan memulakan proses dekontaminasi kendiri bagi kesemua kampus secara berperingkat demi memastikan kebersihan dan keselamatan warganya.

Menurutnya, kakitangan Pusat Pengajian dan Pusat Akademik/Penyelidikan di semua kampus perlu bekerja dari rumah bermula esok sehingga 22 Mac ini dengan tempoh masa antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Katanya, USM juga memutuskan untuk mengadakan anjakan cuti pertengahan semester lebih awal bermula 30 Mac hingga 5 April ini berbanding pada 6 April hingga 12 April depan.

“Penuntut tidak dihalang pulang ke kampung masing-masing semasa cuti pertengahan semester, namun lebih digalakkan berada di dalam kampus sepanjang tempoh itu bagi mengelakkan risiko penularan wabak.

“Laluan pintu masuk turut dihadkan di semua kampus USM dengan hanya dua pintu utama dibuka di kampus induk dan pelawat perlu menjalani pemeriksaan keselamatan atau ujian pengesan suhu,” katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata, solat Jumaat pada 20 Mac 2020 ini juga tidak akan diadakan di Masjid Al-Malik Khalid, sebaliknya warganya diminta menunaikan solat Zohor di kediaman masing-masing.

Menurutnya, jemaah perlu membawa sejadah dan telekung masing-masing bagi solat fardu di masjid, manakala jemaah dari luar USM tidak digalakkan hadir ke masjid berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai urusan di bank, pejabat pos dan lain-lain di dalam kampus USM tidak dibenarkan berbuat demikian, sebaliknya perlu mencari alternatif lain di luar kampus.

“Perkhidmatan semua perpustakaan, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Galeri Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) serta Galeri Arkeologi juga ditutup sehingga diberitahu kelak.

“Semua inisiatif itu dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga dan kawalan persekitaran supaya wabak ini tidak merebak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 7:59 PM