NORAMRY meniup seruling bagi mengumpul dana untuk membantu anak yatim di Pasar Ramadan Batu 4, Teluk Kemang.
NORAMRY meniup seruling bagi mengumpul dana untuk membantu anak yatim di Pasar Ramadan Batu 4, Teluk Kemang.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Bunyi tiupan seruling seorang pemuda bukan saja syahdu, malah menyentuh jiwa pengunjung bazar Ramadan di Batu 4, di sini, sepanjang bulan ini.

Seruling dimainkan Noramry Mohamad, 29, atau Amri menerusi aktiviti busking bagi mencari dana membantu golongan kurang bernasib baik khususnya anak yatim di sekitar daerah ini.

Berbekalkan seruling, sebuah beg, pembesar suara dan bekas duit, Amri memulakan aktiviti busking solo sambil meniup seruling mengalunkan irama yang dinamakan ‘Busking Ramadan’.

“Kedatangan Ramadan membuatkan orang ramai berebut-rebut menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan. Jadi, saya mengambil inisiatif menggunakan bakat saya meniup seruling untuk membantu menggembirakan anak yatim hasil sumbangan orang ramai di bazar Ramadan sekitar Port Dickson.

“Alhamdulillah, hanya meniup seruling mengikut kemampuan masa dan tenaga, sambutan diterima menggalakkan. Sepanjang Ramadan, saya akan busking di tiga tempat dalam seminggu iaitu di Batu 4, Giant Lukut dan bazar Ramadan Taman Politeknik,” katanya yang juga kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Port Dickson.

Amri berkata, dia sudah mengumpulkan dana RM1,010 bagi empat kali busking di bazar Ramadan sebelum membuat penyerahan bantuan kepada anak yatim menjelang Aidilfitri.

“Setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya kepada anak yatim piatu sama ada dalam bentuk barangan atau wang tunai. Ini juga sebagai platform orang ramai menghulurkan bantuan.

“Mungkin ada yang menyangka saya hendak meminta sedekah, tetapi sebenarnya saya membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:03 AM