Muhammad Adif Rayqal (kanan) menyuapkan buah kurma kepada adiknya Muhammad Zarif Irfan (kiri) pada Program Berbuka Puasa di Ancasa Residences, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Muhammad Adif Rayqal (kanan) menyuapkan buah kurma kepada adiknya Muhammad Zarif Irfan (kiri) pada Program Berbuka Puasa di Ancasa Residences, semalam. FOTO AZRUL EDHAM
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: "Saya dan adik menunggu datangnya bulan puasa (Ramadan) kerana kami ada peluang dijemput ke majlis berbuka puasa di hotel."

"Terima kasih kepada pihak hotel yang belanja kami makan sedap dan lebih seronok kami dapat duit raya," kata Muhammad Adif Rayqal Muhammad Faisal, 9, dan adiknya Muhammad Zarif Irfan, 7, ketika ditemui di Program Berbuka Puasa di Ancasa Residences Port Dickson di sini, semalam.

Kedua-dua mereka adalah antara 30 orang yang bertuah diraikan oleh pihak hotel untuk berbuka puasa dan menerima duit raya.

Muhammad Adif Rayqal berkata bapanya meninggal dunia ketika dirinya berusia empat tahun dan adiknya berusia dua tahun akibat sakit.

"Ibu saya, Norsuhana Mohd Zin bekerja sebagai Jururawat dan biasanya kami berbuka puasa bertiga sahaja kecuali jika ibu sedang berkerja," katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sunggala,Port Dickson.

Menurut seorang lagi anak yatim, Nawal Huda Mohd Nasri, 8, dia bersama adiknya, Naurah Hana, 7, gembira diraikan pihak hotel Ancasa dengan pelbagai makanan di majlis berbuka puasa.

"Sejak ayah meninggal dunia akibat sakit jantung, ibu saya, Nurul Fatin Nabilah Abu Khalid, hanya mencari nafkah dengan menjadi pengasuh.

"Seronok makan di hotel, semua sedap-sedap dan ini kali kedua saya dan adik dibawa berbuka di hotel. Lebih seronok, kami sudah mengumpul duit raya dan kali ini saya nak simpan untuk beli telefon bimbit," katanya.

Penjaga Anak-anak Yatim Piatu Islam Daerah Port Dickson, Maikin Odoi berkata, anak-anak yatim di bawah seliaannya lebih kurang 400 orang.

"Setiap tahun kami menerima undangan berbuka puasa daripada pelbagai pihak, dan kami menyusun mengikut zon lokasi berdekatan.

"Alhamdulillah, tahun ini banyak kami terima undangan sebab dua tahun sebelum ini agak kurang jemputan akibat pandemik Covid-19 dan kali ini anak-anak kelihatan seronok terutama sekali yang baru kematian ibu atau bapa," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Ancasa Residences Port Dickson, Baharin Baharudin berkata, setiap tahun pihaknya akan meraikan mereka yang kurang bernasib baik seperti anak yatim berbuka puasa di sini.

"Kita seronok melihat mereka (anak-anak yatim) ini teruja terutama ketika mereka memilih makanan yang mana kami menyediakan banyak menu makanan seperti biasa di bulan Ramadan.

"Program biasa ialah penyampaian sumbangan duit raya yang pastinya dinanti mereka sekurang-kurangnya dapat membuat mereka tersenyum gembira kerana bakal menyambut Syawal dua minggu lagi," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 12:30 PM