Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Majlis Berbuka Puasa Jalanan atau 'Street Iftar' anjuran anjuran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di Laluan Jalan Pasar, di sini, sangat meriah malam ini.

Program ini turut diraikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyampaikan sumbangan kepada balu dan anak yatim daerah Port Dickson.

Selain 44 anak yatim daerah Port Dickson, turut menerima sumbangan adalah ibu tunggal, balu, duda dan kakitangan MPPD yang sakit.

Program 'Street Iftar' ini adalah kali kedua diadakan yang mana kali seramai 800 individu hadir berbanding 300 tahun lalu.

"Tahniah kepada penganjur, MPPD yang berjaya melaksanakan program ini dengan sambutan yang amat menggalakkan dan kemungkinan ia akan lebih menarik tahun depan dengan mengadakan jamuan secara 'potluck' pula," katanya kepada media sebelum majlis berbuka puasa.

Katanya, tahun depan pihaknya merancang ia diadakan setiap hujung minggu yang diadakan secara 'potluck'.

"Saya rasa ia akan mendapat sambutan dan program berbuka secara santai setiap hujung minggu bagi memberi peluang kepada orang ramai sebagai satu daya tarikan dan kita menyediakan tempat solat di sini.

"Penyumbang kita galakkan untuk program berbuka puasa di sini, bukannya setiap hari tetapi hanya setiap hujung minggu sahaja dan saya percaya ia akan mendapat sambutan orang ramai," katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

ORANG ramai yang turut hadir di Majlis 'Street Iftar' anjuran MPPD)i Jalan Pasar Port Dickson malam tadi.  FOTO Mohd Khidir Zakaria
ORANG ramai yang turut hadir di Majlis 'Street Iftar' anjuran MPPD)i Jalan Pasar Port Dickson malam tadi. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Turut hadir, Yang Dipertua MPPD, MOHD Zamri Mohd Esa, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, Datuk M Ravi.

Bagi anak yatim, Muhammad Rayyan Ariff, 11, dia teruja kerana turut diraikan dalam majlis anjuran MPPD ini.

"Seronok apabila diraikan Menteri Besar Negeri Sembilan, dapat duit raya, hamper dan lebih seronok berbuka puasa bersila di atas jalan raya beramai-ramai.

"Saya harap program seperti ini diadakan setiap tahun dan kalau boleh dijemput lebih ramai lagi anak yatim dari seluruh Port Dickson," katanya.

Menurut Aisyah Ahmad, 13, inilah kali pertama dia dijemput pihak penganjur berbuka puasa secara santai di atas jalan raya.

"Seronok sebab dapat makan beramai-ramai, solat dan diraikan sempena bulan Ramadan tahun ini dan tempat ini juga cantik dengan lampu di waktu malam.

"Bagi saya ini pengalaman kali pertama berbuka puasa berbumbungkan langit dengan lampu yang banyak menunjukkan Port Dickson amat indah di waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 10:19 PM