Peniup seruling, Noramry Mohamad membuat kelainan dengan persembahan ‘Busking Amal’ di laman sosial Facebook untuk mengutip dana membantu golongan yang memerlukan di rumahnya di Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Peniup seruling, Noramry Mohamad membuat kelainan dengan persembahan ‘Busking Amal’ di laman sosial Facebook untuk mengutip dana membantu golongan yang memerlukan di rumahnya di Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


BAGI meringankan beban golongan tidak berkemampuan ketika pandemik Covid-19, seorang pemain seruling melakukan ‘Busking Amal’ secara dalam talian bagi mengumpul dana.

Noramry Mohamad, 33, berkata, idea melakukan Busking Amal itu diperoleh hasil perbincangan bersama kumpulannya, Comebank.

“Idea ini timbul selepas saya dan kumpulan ‘Comebank’ memikirkan cara untuk mengumpulkan dana kerana saya juga seperti orang lain sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah.

“Selepas berbincang melalui WhatsApp, kami sepakat mengadakan persembahan secara langsung ‘Busking Amal’ di Facebook dengan saya meniup seruling manakala rakan lain membuat hebahan,” kata yang juga Pembantu Tadbir di Pejabat Daerah Dan Tanah Port Dickson.

Menurutnya, persembahan yang dilakukannya pada 27 Mac lalu bermula jam 9 malam dan berakhir sejam kemudian berjaya mengumpulkan RM1,000 untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, sebelum ini saya meniup seruling di Pasar Malam atau Pasar Tani untuk mengutip dana asnaf. Ini kali pertama saya melakukan secara langsung di FB dan dikongsi rakan-rakan.

“Separuh hasil kutipan sudah saya serahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) manakala bakinya akan kami serah sendiri kepada golongan asnaf yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bagan Pinang, Port Dickson.

Noramry atau lebih dikenali sebagai Amri berkata, dia dan kumpulannya akan meneruskan ‘Busking Amal’ bagi membantu orang yang memerlukan kerana PKP.

“Bagi orang yang bergaji tetap mungkin tidak terasa (susah) tetapi mereka yang bergantung kepada pendapatan harian sangat terjejas.

“Saya berdoa supaya penularan Covid-19 segera berakhir dan berharap rakyat ikut nasihat Kerajaan dengan duduk di rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:49 PM