MAIAMALINA  (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Khatijah. Hadir sama, Anuar Md Yusof (tiga dari  kiri). Gambar kecil, penghuni Pondok Mahligai Melor melihat barangan yang diperoleh.
MAIAMALINA (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Khatijah. Hadir sama, Anuar Md Yusof (tiga dari kiri). Gambar kecil, penghuni Pondok Mahligai Melor melihat barangan yang diperoleh.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jika kebanyakan pondok lain membenarkan penghuninya bercuti pada Ramadan, Pondok Mahligai Melor, di sini pula sebaliknya beroperasi tanpa cuti.

Menempatkan 79 penghuni tetap dengan 75 daripadanya wanita warga emas berusia 60 hingga 80 tahun, ia dibuka sepanjang tahun untuk keperluan penghuni mengaji agama serta mendekatkan diri dengan Tuhan.

Terdapat empat lagi penghuni lelaki yang seusia penghuni wanita manakala pengurusan membenarkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Azahariah yang akan menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menginap sementara di asrama di situ.

Ketua Muslimat Pondok Mahligai Melor Kamariah Zakaria, 64, berkata, barang keperluan harian dan makanan menjadi keperluan utama untuk pondok itu, sekali gus memberi keselesaan kepada penghuninya yang rata-ratanya sudah lanjut usia.

“Pondok ini berusia lebih 70 tahun sejak dibangunkan generasi tok guru terdahulu yang juga ahli keluarga saya dan kami memberi peluang kepada semua warga emas yang mahu mendalami agama, di sini tidak kira berapa lama mereka mahu berada di sini.

“Mereka (penghuni warga emas) pula hanya perlu membayar RM250 setahun untuk bil elektrik dan air manakala RM35 sebulan bagi pelajar yang menginap di asrama untuk tempoh tertentu.

“Disebabkan tidak pernah bercuti, kami mengalu-alukan bantuan keperluan harian daripada mana-mana pihak,” katanya, di sini.

Pondok itu menerima 10 Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan harian dan wang zakat RM3,500 menerusi program #HMKotakRezeki2017.

Sumbangan #HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama serta penaja lain termasuk Giant, Watsons Malaysia, Yayasan Kesejahteraan Bandar Wilayah Persekutuan, Richwell, Lifebuoy, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker manakala Poslaju sebagai rakan kurier rasmi.

Bantuan disampaikan Ketua Biro Harian Metro Kelantan Maiamalina Mohamed Amin kepada Khatijah Mohamed, 59, yang turut disaksikan Pengurus Affin Bank Cawangan Kota Bharu, Anuar Md Yusof dan Ketua Zon Poslaju Kelantan Rosli Mohd Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 7:14 AM