RUDY Fazrunisyam  (dua dari kanan) bersama  Mohd Izwan  (kanan) dan Khairu Anwar  (kiri) menyerahkan Kotak Rezeki kepada Rasyidah  di asrama perempuan Baitul Maghfirah di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
RUDY Fazrunisyam (dua dari kanan) bersama Mohd Izwan (kanan) dan Khairu Anwar (kiri) menyerahkan Kotak Rezeki kepada Rasyidah di asrama perempuan Baitul Maghfirah di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Rudy Fazrunisyam Samarudin


Johor Bahru: Pemilihan asrama perempuan Baitul Maghfirah, Bandar Baru Uda, di sini, sebagai penerima sumbangan program #HMKotakRezeki2017 ternyata memberi kelegaan kepada pengurusannya.

Penyelianya Rasyidah Marsan, 46, berkata, sumbangan 10 Kotak Rezeki besar mengandungi pelbagai barangan keperluan makanan serta wang zakat RM3,500 menjadi penyambung hayat 20 penghuni asrama yang berusia lima tahun hingga 12 tahun itu.

“Asrama terletak di Jalan Padi Ria 4, Bandar Baru Uda itu beroperasi sejak lima tahun lalu dan premis ini disewa pada kadar RM2,000 sebulan. Penghuni terdiri daripada anak yatim dan asnaf dari sekitar Johor Bahru dan daerah berdekatan yang masih bersekolah di beberapa sekolah berdekatan.

“Asrama ini memerlukan RM10,000 sebulan untuk kos utiliti, makan minum penghuni dan perbelanjaan sekolah mereka, ia diperoleh hasil sumbangan individu dan syarikat swasta. Oleh kerana sumber kewangan terhad, ada kalanya kami menghadapi kesukaran untuk menjelaskan bil seperti bil utiliti menyebabkan ia tertunggak,” katanya selepas menerima kotak rezeki daripada Ketua Biro Harian Metro Johor Rudy Fazrunisyam Samarudin, semalam.

Hadir sama Eksekutif Affin Bank Cawangan Danga Bay Mohd Izwan Md Noor dan wakil Pos Laju Khairu Anwar Mohamad.

Sementara itu, di rumah kebajikan Raudhatul Maryam yang terletak di Taman Pulai Utama, Skudai di sini, pengurusannya menitikberatkan aspek pendidikan agama buat 43 penghuninya.

Yang Dipertuanya Mohd Nasir Mohd Nor berkata, lapan daripada penghuni adalah anak tidak sah taraf dan yang tiada dokumen menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah.

“Raudhatul Maryam menempatkan 40 penghuni lelaki dan tiga perempuan berusia lima tahun hingga 18 tahun yang berasal dari negeri ini, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Kami mementingkan pendidikan kepada penghuni di mana mereka meneruskan persekolahan seperti biasa, manakala bagi anak-anak yang tidak layak ke sekolah kerajaan, mereka diberi pendidikan di asrama. Syukur, kita berjaya melaksanakannya hasil bantuan tenaga pengajar sukarela terdiri daripada penuntut universiti dan individu,” katanya.

Mohd Nasir turut mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sama ada barangan makanan, keperluan harian dan kewangan.

Mohd Nasir ditemui pada penyerahan #HMKotakRezeki2017 disampaikan Rudy Fazrunisyam dan dihadiri Mohd Izwan serta Khairu Anwar.

#HMKotakRezeki2017 mendapat kerjasama Affin Bank Group dan Affin Islamic Bank sebagai penaja utama manakala penaja lain ialah pasar raya Giant, Yayasan Kesejahteraan Bandar Wilayah Persekutuan, Watsons Malaysia, Lifebuoy, Richwell, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Poslaju sebagai rakan kurier.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2017 @ 11:19 AM