Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: “Terima kasih kerana sudi jenguk kami di sini dan bawa bersama sumbangan ini,” kata penghuni Rumah Sejahtera Paya Ular, Zaharah Seman, 88.

Harian Metro (HM) semalam berkunjung ke rumah kebajikan itu yang terletak di Bunut Susu, di sini untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian program #HMKotakRezeki 2016.

Rumah kebajikan itu menempatkan 24 penghuni, termasuk Zaharah yang tinggal sebatang kara.

Menurutnya, sudah lebih 10 tahun dia menghuni di situ selepas kematian suami dan tidak mempunyai tempat tinggal lain.

“Apabila ada yang datang ke sini, ia membawa kegembiraan sekali kepada saya. Rasa macam ahli keluarga sendiri datang melawat.

“Kehidupan di sini lebih banyak tertumpu kepada mendalami ilmu agama dan setiap pagi, petang dan malam akan ada guru yang datang mengajar.

“Di sini, walaupun rata-ratanya keseorangan, tapi tidak sunyi kerana kami masing-masing saling mengambil berat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Ketua Biro Harian Metro (HM) Kelantan Maiamalina Mohamed Amin menyampaikan sumbangan wang tunai dan barang keperluan harian kepada Pengerusi Jawatankuasa Rumah Sejahtera Paya Ular, Ashaari Che Ali.

Turut hadir, Pengurus Affin Islamic Bank Cawangan Kota Bharu, Nik Hazlina Nik Hassan.

Program itu diadakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama selain Wah Chan Consolidated, Comfort, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, The Italian Baker Sdn Bhd, Yeo’s, Tupperware Brands Sdn Bhd dan rakan kurier, Pos Laju.

Ia program tanggungjawab sosial korporat (CSR) HM bagi membantu golongan memerlukan sesuai dengan slogan sambutan ulang tahun ke-25 akhbar ini iaitu Menyelami Jiwa Masyarakat.

Ashaari berkata, rumah sejahtera itu menempatkan 24 penghuni terdiri daripada warga emas yang sebatang kara dan mereka yang tinggal berasingan daripada keluarga.

Katanya, ia ditubuhkan sejak 1984 hasil sumbangan orang ramai dan sehingga kini sudah menerima ratusan penghuni warga emas, ibu tunggal dan asnaf.

“Terima kasih saya ucapkan kerana tidak melupakan penghuni rumah ini. Sumbangan ini akan dapat meringankan beban ditanggung mereka.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 10:00 AM
MAIAMALINA menyerahkan sumbangan kepada Ashaari di Bunut Susu, Pasir Mas.
MAIAMALINA menyerahkan sumbangan kepada Ashaari di Bunut Susu, Pasir Mas.