PELAJAR mengangkat Kotak Rezeki  pada program pengagihan Program #HMKotakRezeki2017  ke Sekolah Menengah Agama dan Tahfiz   di Pulau Besar,  Melaka.
PELAJAR mengangkat Kotak Rezeki pada program pengagihan Program #HMKotakRezeki2017 ke Sekolah Menengah Agama dan Tahfiz di Pulau Besar, Melaka.
Shaiffulazhar Misri


Melaka: Terpisah dari tanah besar bukan penghalang kepada pasukan program #HMKotakRezeki2017 untuk mengagihkan sumbangan kepada 160 pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Pulau Besar, di sini, semalam.

Sumbangan diserahkan kepada penyelia sekolah itu, Ahmad Saufuan Mohamed Nasir sebelum dihantar ke Pulau Besar menggunakan perkhidmatan bot disediakan nelayan tempatan.

Ahmad Saufuan berkata, sumbangan itu secara tidak langsung menceriakan pelajar sekolah terbabit yang majoritinya berasal daripada keluarga kurang berkemampuan atau asnaf.

“Bagi saya program ini berfaedah. Tidak mustahil kesepakatan ditunjukkan semua penaja untuk menjayakannya akan menjadi ikutan pihak lain yang mahu menyampaikan sumbangan selepas ini,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan disampaikan Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Salman Hamat bersama wakil Affin Islamic Bank Berhad Cawangan Melaka Zuraina Md Zin.

Sumbangan #HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Bank dan Affin Islamic Bank selaku penaja utama.

Penaja lain termasuk pasar raya Giant, Watsons Malaysia, Yayasan Kesejahteraan Bandar, Richwell, Lifebuoy, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd, Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd dan Quaker manakala Poslaju sebagai rakan kurier rasmi.

Program #HMKotakRezeki2017 turut menarik perhatian kembar, Iqbal Amir Roslan dan Irfan Amir yang kini belajar di Madrasah Haji Ab Ghani, Serkam Timur.

Kembar berusia 12 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor itu kelihatan teruja untuk melihat kandungan Kotak Rezeki yang dihantar menggunakan khidmat kurier Poslaju ke Madrasah mereka.

Menurut Iqbal, dia menghafaz 30 juzuk al-Quran dan tidak sabar untuk berkongsi barangan sumbangan berkenaan bersama kembarnya, rakan dan ustaz di madrasah terbabit.

“Kotak sumbangan saja menarik perhatian kami, sebab itu saya tak sabar untuk melihat isi kandungannya. Syukur rezeki kami tidak putus sepanjang Ramadan,” katanya.

Serahan sumbangan turut disampaikan kepada Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Pernu, yang menjadi tempat perlindungan 50 anak yatim, yatim piatu dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2017 @ 8:53 AM