PELAJAR Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri mengutip tembikai wangi.
PELAJAR Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri mengutip tembikai wangi.
Mohd Husni Mohd Noor

Sepang: Keputusan Madrasah Tahfiz Raudhatul Baiduri Olak Lempit untuk memanfaatkan tanah kosong seluas 0.4 hektar dengan tanaman tembikai wangi (rock melon) sejak setahun lalu tidak sia-sia apabila program pertanian itu kini menjana pendapatan tetap kepada pusat tahfiz berkenaan.

Selepas setahun diusahakan, ladang tembikai wangi itu menyumbang pendapatan sehingga RM13,000 bagi setiap musim menuai iaitu tiga bulan bagi setiap musim.

Pengetuanya Helmi Jamaludin berkata, beliau bersyukur kerana hasil jualan buah berkenaan menampung keperluan dan kebajikan 14 pelajar pusat tahfiz berkenaan.

“Pada mulanya, kami merancang untuk membina kediaman bagi anak yatim perempuan dan wanita warga emas di tanah kosong itu, namun ia ditangguhkan berikutan kekurangan dana.

“Penanaman tembikai wangi ini menggunakan kaedah fertigasi di bawah Program Azam Tani yang disokong Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Malah projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kawasan Kuala Langat membabitkan 3,800 beg yang ditanam benih tembikai wangi untuk setiap musim,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan 10 Kotak Rezeki besar mengandungi barangan keperluan harian dan wang zakat RM3,500 menerusi program #HMKotakRezeki2017, kelmarin.

Sumbangan diserahkan oleh Eksekutif Deposit dan Perkhidmatan Pelanggan Affin Bank Bhd Cawangan Kota Warisan Ahmad Hasif.

#HMKotakRezeki2017 dijayakan dengan kerjasama Affin Islamic Bank selaku penaja utama selain pasar raya Giant, Watson Malaysia, Lifebuoy, Richwell, Massimo by The Italian Baker Sdn Bhd dan Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd manakala Poslaju sebagai rakan kurier.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 5:47 AM