Pegawai KPDNKK memeriksa selipar jenama tiruan yang dirampas di Tanjung Bendahara, Alor Setar. - Foto RAHMAT OTHMAN
Pegawai KPDNKK memeriksa selipar jenama tiruan yang dirampas di Tanjung Bendahara, Alor Setar. - Foto RAHMAT OTHMAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah merampas 4,600 pasang selipar jenama tiruan bernilai lebih RM30,000 dalam serbuan di sebuah stor pemborong kasut di Tanjung Bendahara, di sini, petang tadi.

Dalam serbuan 2.30 petang itu, sepasukan anggota KPDNKK menyerbu premis terbabit selepas menerima aduan daripada syarikat pemilik jenama berkenaan, iaitu Nike dan Fipper berhubung penjualan selipar tiruan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shahruddin Hamzah berkata, pihaknya merampas 3,100 pasang selipar tiruan jenama Fipper dan 1,500 pasang kasut tiruan jenama Nike.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, selipar itu disyaki diperoleh dari Thailand dan dijual dengan harga murah sekitar RM10 sepasang berbanding harga jenama asli sekitar RM17 hingga RM80 sepasang.

"Kasut yang dirampas dibawa ke pejabat KPDNKK di Anak Bukit untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 bagi kesalahan individu manakala RM15,000 bagi kesalahan syarikat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 7:32 PM