KEADAAN Mohd Arifuddin yang dirawat di hospital.
KEADAAN Mohd Arifuddin yang dirawat di hospital.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: ‘Papa, kenapa jadi macam ni,’ tanya Mohd Arifuddin Mohd Norhafis, 9, yang menderita kanser tisu menyebabkan dia berkemungkinan hilang penglihatan.

Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai Klang itu kini terlantar di Wad Kanser (KK3) Unit Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan doktor mengesahkan ada ketumbuhan di kepala kirinya.

Keadaan itu menyebabkan mata kirinya terkeluar dan pipinya membengkak, selain menghadapi masalah pendengaran dan pertuturan.

Bapanya, Mohd Norhafis Abd Aziz, 33, berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu mengalami sakit kepala Januari lalu sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) berikutan keadaan yang semakin teruk.

Katanya, selepas itu Mohd Arifuddin dirujuk ke Unit Telinga, Hidung & Tekak (ENT) untuk rawatan sebelum ditempatkan di KK3 lebih seminggu lalu.

“Saya harap orang ramai doakan anak saya kembali sihat dan dapat meneruskan persekolahan seperti biasa. Setakat ini, doktor berusaha merawatnya.

“Mata sebelah kiri sudah tidak dapat melihat serta mata kanannya kabur. Telinga pun tak berapa dengar dan saya perlu bercakap dengan kuat, baru dia dengar,” katanya yang bercuti daripada kerja sejak tiga bulan lalu untuk menemani anaknya di hospital.

Dia dibantu Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser HKL (HKL Kids) yang memberikan sokongan moral kepada pesakit kanser di hospital itu.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank (5640 9850 8578) atas nama Mohd Arifuddin.

Sementara itu, Pengerusi HKL Kids Hamidah Tajuddin berkata, pihaknya tampil memberikan sokongan moral kepada keluarga Norhafis agar tabah menerima ujian itu.

Katanya, HKL Kids adalah NGO yang memberi bimbingan kepada ibu bapa yang mempunyai anak pesakit kanser dan mereka saling bertukar pandangan mengenai penyakit itu.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 300 ahli yang mengambil berat antara satu sama lain dan berharap ia mengurangkan beban ditanggung.

“Hanya mereka yang ada anak pesakit kanser saja memahami perasaan bagaimana berdepan ujian seperti ini. Semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada mereka semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 4:36 AM