Siti Fatimah Hassan


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian serangan di Jambatan London.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kementerian itu menyatakan ia sedang memantau perkembangan kejadian berkenaan dan menasihatkan rakyat Malaysia berada di sekitar kawasan itu supaya sentiasa berjaga-jaga.

"Sehingga kini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dengan insiden berkenaan. Warganegara Malaysia yang menetap di sekitar kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga dan patuh dengan arahan pihak berkuasa tempatan.

"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk maklumat terkini dan segera kepada komuniti Malaysia di sekitar London,” kaya kenyataan itu.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London boleh dihubungi di talian +44 (0) 207 242 4308 atau emel [email protected].

Tiga penyerang yang merempuh orang ramai di Jambatan London dengan van dan kemudian menikam mangsa di jalanan malam tadi, menyebabkan enam maut dan lebih 30 cedera.

Ketiga-tiga penyerang itu mati ditembak polis, termasuk dua yang ditembak oleh penembak tepat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:47 PM