Grenfell Tower, North Kensington, London yang terbakar. FOTO EPA/ANDY RAIN
Grenfell Tower, North Kensington, London yang terbakar. FOTO EPA/ANDY RAIN
BERNAMA

KEMENTERIAN Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam kebakaran awal pagi Rabu di Grenfell Tower, North Kensington, London.

Bagaimanapun, rakyat Malaysian yang hadir atau menetap berdekatan kawasan berkenaan dan memerlukan bantuan konsular agar menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London di alamat berikut: Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, London No. 52, Bedford Row London WC1R 4LR Tel: +44 207 235 80333 E-mail: [email protected]

"Kementerian Luar menyampaikan simpati yang mendalam kepada mangsa yang terbabit dalam insiden tersebut," katanya.

Menurut laporan berita, blok apartmen setinggi 27 tingkat itu musnah berikutan api besar yang dipercayai berlaku sebelum 1 pagi waktu tempatan. Lebih daripada 250 anggota bomba dan penyelamat bertungkus-lumus menyelamat para penghuni dengan 100 anggota polis dan 100 petugas perubatan turut berada di tempat kejadian.

Polis mengesahkan terdapat sejumlah angka kematian sementara Perkhidmatan Ambulans London berkata 50 orang dibawa ke lima hospital setakat 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 11:39 PM