Anggota polis berkawal di lokasi kejadian. FOTO ITV Tyne Tees
Anggota polis berkawal di lokasi kejadian. FOTO ITV Tyne Tees
Kalidevi Mogan Kumarappa


KEMENTERIAN Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden sebuah kereta merempuh jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar sebuah pusat sukan di Westgate Road di Newcastle, utara England pada 9 pagi (waktu tempatan) semalam.

Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu seorang wanita berusia 42 tahun dilaporkan terbabas ke laluan pejalan kaki sebelum merempuh sekumpulan jemaah yang keluar dari Masjid Sentral Newcastle.

Enam orang termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kejadian itu.

Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu namun menasihatkan mereka yang menetap di sekitar kawasan itu supaya sentiasa berjaga-jaga dan patuh dengan arahan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan sedang memberi maklumat terkini kepada rakyat Malaysia di sekitar bandar itu.

Mereka yang berada dalam kecemasan boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di 52 Bedford Row, London WC1R 4LR atau menghubungi +44 (0) 207 242 4308 atau e-mel [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 12:05 PM