Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengetahui situasi terkini rakyat Malaysia di London susulan serangan di luar bangunan Parlimen Britain, malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan di sini, hari ini, berkata tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam serangan di Jambatan Westminster, dekat bangunan Parlimen itu.

Menurutnya, serangan berkenaan mengorbankan lima nyawa dan mencederakan 40 mangsa lagi.

“Polis tempatan mengendalikan serangan berkenaan sebagai insiden pengganas," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sebarang maklumat kecemasan, boleh menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London di talian +44 (0) 207 235 8033 atau Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di talian 03-88874570 / 0388892746.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 10:32 AM